USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERTAMA MILIKI BIOREAKTOR BERBILANG PROSES: ALAT BANTU HASIL KAJIAN LEBIH MANTAP DAN PANTAS

IMG 0112gb

PULAU PINANG, 8 Julai 2015  - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) memperoleh seunit bioreaktor Multifors bernilai RM185,000, menjadikan USM universiti pertama di negara ini yang memiliki kelengkapan canggih untuk memperkasa penyelidikan itu.

Kemudahan tersebut disumbangkan oleh INFORS HT melalui anak syarikatnya di Malaysia, Syarikat Bumi Sains Sdn. Bhd. INFORS HT yang berpengkalan di Switzerland mempunyai pengalaman lebih 45 tahun dalam mereka bentuk bioreaktor bagi kegunaan di seluruh dunia.

IMG 0095fghg

Bioreaktor INFORS HT Multifors yang berprestasi tinggi direkabentuk khas untuk menjalankan berbilang bioproses untuk penyelidikan bagi penghasilan pelbagai bahan termasuk probiotik, bioplastik, asid organik, vaksin dan sebagainya.

Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa berkata, kemudahan terkini itu akan membolehkan proses penyelidikan menjadi lebih pantas, mantap dan berkualiti tinggi, selain membantu dalam penghasilan jurnal-jurnal berimpak tinggi.

Katanya, ia turut memberi manfaat yang cukup besar untuk PPTI memacu program Teknologi Bioproses yang baru tujuh tahun dimulakan melalui aktiviti pengajaran dan penyelidikan termasuk di peringkat ijazah pertama, sarjana dan kedoktoran.

IMG 0139rrghdfh

``Sumbangan ini hanya sebahagian daripada sokongan INFORS HT kepada USM. Selain bioreaktor, INFORS HT turut membantu dalam penubuhan Loji Rintis Bioproses dengan menyediakan sistem pempaipan yang dianggarkan berjumlah RM200,000.

``Para pelajar turut didedahkan dengan operasi bioreaktor secara percuma oleh syarikat berkenaan sebagai sokongan padu mereka ke arah memperkukuhkan peranan dan sumbangan akademik kepada dunia,’’ katanya.

IMG 0131gfgf

IMG 0137jg

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Bioreaktor INFORS HT Multifors di sini hari ini. Penyerahan tersebut dibuat oleh Presiden Lembaga INFORS HT, Michael Hawrylenko kepada Dekan PPTI.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INFORS HT, Marcel Brauchli pula berkata, USM dipilih berdasarkan reputasinya yang cukup tinggi dalam arena akademik selain telah lama bekerjasama dengan INFORS HT, iaitu bermula sekitar 2008.

IMG 0152ghg

Katanya, sumbangan tersebut diharap dapat meningkatkan kualiti penyelidikan di USM dan hasil penyelidikan mampu diterbitkan dalam jurnal-jurnal bertaraf antarabangsa. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1153

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024