USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TABAH HADAPI CABARAN HIDUP TANPA IBU BAPA

 DSC8985

PULAU PINANG, 6 Julai 2015 - Seseorang itu perlu redha dengan takdir dan ketetapan takdir serta meneruskan kehidupan dengan yakin dan tabah apatah lagi menyedari ibu bapa pergi sekelip mata dan adik-adik memerlukan kekuatan daripada seorang kakak.

“Kita perlu redha dengan takdir yang berlaku dan mereka yang masih ada ibu dan ayah, jagalah sebaik mungkin selagi mereka masih ada dengan kita,” kata seorang penghuni Rumah Anak Yatim Ummu Salamah, Gerik, Perak yang ditemui selepas majlis penyerahan bantuan dan program Libatsama Komuniti anjuran Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

pppjj8

Siti Nurzulaikha Muhd Nasir, 18, pelajar tingkatan enam SABK Tan Sri Ghazali Jawi, Gerik, Perak itu yang kehilangan ibu dan ayahnya pada Mei tahun lalu apabila ayahnya yang bekerja sendiri terkorban setelah terlibat dalam kemalangan di tempat kerja manakala ibu yang menjadi tempat bergantung dia dan empat adik beradik lain meninggal dunia tiga bulan kemudian setelah motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menghantar adiknya ke sekolah.

Anak sulung dari adik beradik lain yang semuanya laki-laki itu begitu cekal harinya demi untuk masa hadapan adik-adiknya dengan menghuni di Rumah Anak Yatim Ummu Salamah kerana adik beradik sebelah ibu bapanya berasal dari Kelantan dan tidak mahu menyusahkan mereka.

“Pemergian ibu bapa dalam masa yang singkat itu benar-benar meninggalkan kesan dan sebagai anak sulung, saya menggalas tanggungjawab yang berat dalam memastikan adik-adik yang lain berjaya seperti insan lain,” kata Siti Nurzulaikha.

 DSC9000

Katanya, kedatangan Syawal kali ini pastinya akan menggamit kembali kenangan bersama-sama ibu dan ayah semasa mereka masih ada dahulu, namun dia dan adik beradiknya redha dengan takdir yang berlaku dan berazam untuk meneruskan kehidupan ini dengan tabah dan mencapai kejayaan.

“Saya hanya mampu mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kerana insan-insan seperti kami diberi perhatian termasuk oleh pihak USM ini dan berharap agar satu hari nanti dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.

 DSC9021

 DSC9057

Nur Syahidah Awang Bakar, 16, pula gembira dan terharu kerana mendapat sumbangan dan duit raya serta bersyukur kerana sedikit sebanyak mengubat rasa rindu kepada keluarga dan sedikit sebanyak memudahkan membuat persediaan menghadapi hari raya ini bersama-sama rakan-rakan lain.

“Tahun ini adalah tahun kelima saya dan adik Mohd Azhar, 14, menetap di rumah anak yatim ini selepas kehilangan ayah dan bersyukur kerana masih ada insan-insan lain yang simpati menghulurkan bantuan dan sayang pada kami semua,“ katanya yang merupakan Ketua Asrama Rumah Anak Yatim Ummu Salamah itu lagi.

 DSC9033

 DSC9039

Pelajar SMK Sultan Idris Shah II Gerik itu berkata, biarpun Syawal diraikan tanpa ayah tercinta di sisi namun dia dan adiknya redha dengan ketentuan Ilahi kerana masih mempunyai ibu yang mengambil berat dan rakan-rakan yang turut berkongsi kesedihan yang sama.

Rakannya Salman Ishan, 16, yang telah tiga tahun menghuni rumah anak yatim tersebut berkata, program bersama USM ini merupakan program terbaik pernah dia sertai kerana berpeluang mendengar ceramah motivasi yang dapat membuka mindanya menghadapi masa hadapan.

Salah satu pengisian program bersama Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM tersebut ialah bengkel motivasi pembangunan modal insan yang disampaikan oleh pensyarahnya Profesor Madya Dr. Main Rindam.

“Ayah merupakan seorang penebang pokok, namun sejak ayah mengalami masalah kesihatan akibat kemalangan tiga tahun yang lalu, dia tidak mampu untuk bekerja lagi kerana masalah kaki yang dihadapi menyukarkan pergerakan,” kata pelajar SMK Sultan Idris Shah II itu lagi.

 DSC9041

Sementara itu, ibu salah seorang penghuni Rumah Anak Yatim Ummu Salamah tersebut Umi Kalsom Yob, 51, turut gembira menerima sumbangan barangan keperluan harian yang diterimanya dalam meringankan beban yang dialaminya kerana hanya bergantung kepada wang ehsan baitulmal sebanyak RM200 sebulan setelah tidak mampu bekerja apabila kakinya dipotong akibat masalah kesihatan sejak beberapa tahun yang lalu.

“Keprihatinan pihak USM ini amat saya hargai dan bersyukur kepada Tuhan,” katanya dalam nada yang sebak.

Ibu kepada lima orang anak yang telah lima tahun kehilangan suami ini berharap agar anaknya, Nur Sheila Mira, 17, yang juga penghuni rumah anak yatim tersebut dapat belajar bersungguh-sungguh kerana hanya pelajaran sahaja yang dapat mengubah nasib mereka.

Rumah Anak Yatim Ummu Salamah ini menempatkan kira-kira 22 orang pelajar yang terdiri daripada 10 orang perempuan dan 12 orang lelaki yang berusia di antara 10 hingga 17 tahun dengan dibantu oleh tujuh orang pekerja.

Konvoi yang disertai oleh kira-kira 57 orang yang terdiri daripada para pensyarah, staf dan pelajar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM itu dimulai dengan sumbangan pakaian ke Kampung Padang Dan, Baling, Kedah, diikuti dengan sumbangan duit raya dan barang-barang keperluan harian kepada Rumah Anak Yatim Ummu Salamah Gerik, Perak berakhir di Kampung Kerunai Gerik Perak melalui penyampaian sumbangan barang keperluan harian dan duit raya kepada 30 keluarga miskin.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim​

  • Created on .
  • Hits: 3371

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024