USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANTUAN KEPADA ANAK YATIM PERLU BERTERUSAN

 DSC9020

PULAU PINANG, 4 Julai 2015 – Bantuan dan sumbangan orang ramai untuk anak-anak yatim dan miskin di mana-mana sahaja perlu berterusan dan bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Demikian pandangan pengasas Rumah Anak Yatim Ummu Salamah Gerik, Perak, Mufahuddin Abdul Razak, 48, ketika menerima sumbangan dari konvoi Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (PPPJJ USM) hari ini.

pppjj6

Mufahuddin amat berterima kasih kepada pihak USM yang memilih rumah tersebut untuk memberi sumbangan yang mampu meringankan beban dan kesedihan yang dialami oleh anak-anak ini.

Tambahnya lagi, dana yang diperolehi oleh Rumah Anak Yatim Ummu Salamah dalam menguruskan anak-anak ini hanyalah melalui bantuan orang ramai dan sumbangan yang diberi oleh pihak PPPJJ USM mampu menampung kos makanan anak-anak ini untuk tempoh dua bulan akan datang.

“Secara purata, kami memerlukan kira-kira RM20-30 ribu sebulan untuk menampung segala kos di rumah anak yatim ini,” katanya yang dipanggil abah oleh penghuni di sini.

 DSC9035

Rumah Anak Yatim Ummu Salamah ini menempatkan 22 orang pelajar yang terdiri daripada 10 orang perempuan dan 12 orang lelaki yang berusia di antara 10 hingga 17 tahun dengan dibantu oleh tujuh orang pekerja yang dibayar elaun RM400 sebulan.

pppjj11

Pemangku Timbalan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Jaringan PPPJJ Dr. Fatan Hamamah Yahaya berkata, Program Komuniti Masyarakat di Rumah Anak Yatim Ummu Salamah Gerik, Perak dan Kampung Padang Dan, Baling, Kedah yang diadakan hari ini adalah sebahagian daripada komitmen pihak dalam menunaikan tanggungjawab sosial yang ada.

PPPJJ akan terus melaksanakan program-program komuniti bersama masyarakat dengan melibatkan para pelajar dan stafnya selari dengan moto universiti, “Kami Memimpin” dalam kerangka usaha tersebut.

Menurut Fatan Hamamah lagi, program bersama komuniti seumpama ini banyak dilaksanakan oleh pihak pusat pengajian sebelum ini yang berupaya memanfaatkan kepakaran universiti dan mengeratkan lagi jalinan ukhuwah di sebalik kesibukan kerjaya dan keluarga para pelajar mahu pun pensyarah untuk bersama-sama turun padang.

“Dengan adanya program tersebut, mereka dapat merasai dan membantu kumpulan masyarakat yang kurang bernasib baik di samping turut sama melakukan apa yang terdaya untuk mereka ini,” kata Fatan Hamamah.

pppjj9

Jelasnya lagi, sumbangan yang diberi merupakan hasil inisiatif warga PPPJJ mengumpul dana bagi membantu insan lain yang memerlukan.

“Komitmen dan kesungguhan warga pusat pengajian ini dalam setiap program yang dibuat amat membanggakan yang diharap dapat diteruskan pada masa depan," katanya lagi.

Konvoi yang disertai oleh kira-kira 57 orang itu termasuk para pensyarah, staf dan pelajar PPPJJ dimulai dengan pemberian baju-baju di Kampung Padang Dan, Baling, Kedah dan diikuti dengan pemberian sumbangan berupa duit raya dan barang-barang keperluan harian kepada Rumah Anak Yatim Ummu Salamah, Gerik, Perak dan berakhir di Kampung Kerunai melalui pemberian sumbangan kepada 30 keluarga miskin. -- Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1909

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024