USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TUGAS MENDIDIK ANAK ISTIMEWA SATU AMANAH

 DSC8947

BUKIT MERTAJAM, 2 Julai 2015 – Tugas mendidik anak-anak istimewa (cacat penglihatan) merupakan satu amanah dan tanggungjawab mulia yang perlu digalas sebaik mungkin oleh para guru Pendidikan Khas khususnya dalam mencorak mereka supaya menjadi insan yang berguna pada masyarakat.

Demikian tegas Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (Penglihatan), Zarina Ahmad selepas program Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak cacat penglihatan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (Penglihatan), di sini, semalam.

Tambahnya lagi, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran  dalam mendidik  anak-anak istimewa, namun itu bukan halangan kepada para guru di sini dalam memastikan anak-anak ini memahami setiap mata pelajaran yang diajar.

“Mereka menggunakan kaedah braille dalam setiap pembelajaran dengan perisian JAWS yang amat membantu," katanya lagi yang pernah mengajar selama 20 tahun di Sekolah Pendidikan Khas (Pendengaran) di Kuala Lumpur.

Jelas Zarina, sokongan moral daripada komuniti luar amatlah perlu supaya anak-anak ini dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

“Pihak kami berterima kasih kepada pihak USM yang datang pada hari ini memberikan sumbangan kepada anak-anak ini yang sedikit sebanyak memberi keceriaan di riak wajah mereka," tambah Zurina lagi.

Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga merupakan guru di sini, Tengku Nor Hazila Tengku Harun pula berharap agar anak-anak ini terus berjaya dan berbakti kepada masyarakat dalam apa jua bidang yang mereka ceburi pada masa hadapan.

Katanya, walaupun baru masuk tahun ketiga mengajar di sini, namun gembira dengan pencapaian anak-anak ini yang rata-ratanya cepat mengingat apa sahaja yang diajar dengan mudah walaupun penglihatan mereka terbatas selain turut berbangga menjadi salah seorang alumni USM di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (Penglihatan), Hanafi, 17, berkata, dia sangat gembira dapat belajar di sekolah ini kerana guru-guru dan Pembantu Pengurusan Murid yang banyak membantu dalam menyediakan kelengkapan harian selain ingin memperolehi keseluruhan A dalam peperiksaan untuk membalas jasa ibu bapa.

Rakannya Tan Teong  Boon, 13, berterima kasih kepada pihak USM yang datang memberikan sumbangan kepadanya dan rakan-rakan selain memasang impian untuk bergelar pelajar USM pada masa hadapan.

Gunalan, 11, turut berharap agar dapat belajar di USM kerana ingin membalas jasa ibu bapanya.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1297

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024