USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PKAPUSM DEKATI PELAJAR OKU

 DSC8948hjhj

BUKIT MERTAJAM, 2 Julai 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa komited berbakti dan menyumbang kepada komuniti setempat serta menjalinkan perhubungan yang utuh membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Demikian kata Presiden Persatuan Kakitangan Akademik & Pentadbiran USM (PKAPUSM) Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat penglihatan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma (Penglihatan), di sini, semalam.

 DSC8967ghh

Jelasnya lagi, USM juga telah banyak melaksanakan pelbagai aktiviti khususnya yang melibatkan komuniti setempat.

Timbalan Presiden PKAPUSM yang juga Ahli Lembaga Gabenor USM Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly pula berkata, program tersebut merupakan salah satu daripada agenda tahunan PKAPUSM dalam mengukuhkan jaringan sedia ada.

Omar berharap agar program-program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dengan kepelbagaian aktiviti untuk bersama masyarakat setempat.

 DSC8970fgfgh

Pada majlis tersebut Presiden PKAPUSM menyampaikan sumbangan untuk membeli Al-Quran braille dan duit raya serta cenderahati kepada para pelajar sekolah tersebut.

Selepas iftar, majlis diteruskan dengan solat isyak dan tarawih.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma (Penglihatan) Encik Hasan Basri Mukhtar berkata, pihaknya sangat gembira dan mengalu-alukan kehadiran pihak USM kerana sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada anak-anak sekolah tersebut.

“Kami berharap agar lebih banyak program-program bersama USM akan dilakukan di sekolah ini, apatah lagi kebanyakan guru praktikal di sini merupakan pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan pengkhususan pendidikan Khas USM," katanya.

Hasan Basri berharap lebih banyak Pertubuhan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) akan turut sama mencari pelajar-pelajar cacat penglihatan untuk dibawa belajar ke sini memandangkan setiap tahun angka yang memasuki sekolah berkenaan menurun kerana kurangnya pendedahan dan maklumat berkenaan sekolah terbabit dalam kalangan masyarakat.

“Usaha dan kerjasama berterusan daripada kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan pelbagai program mampu membantu menaikkan taraf golongan OKU ke peringkat lebih tinggi kerana kita sedar banyak keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa tersebut, namun kurangnya pendedahan menyebabkan mereka tidak menghantar mereka belajar ke sini,” katanya lagi kepada TVUSM.

 DSC8957fggh

Terdahulu, Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (Kaedah Mengajar Bahasa Inggeris [TESL]) Profesor Madya Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah turut menyampaikan ceramah motivasi untuk pembangunan modal insan pelajar.

Sekolah tersebut mempunyai seramai 41 orang pelajar sekolah rendah, 27 orang pelajar sekolah menengah dengan keseluruhannya seramai 66 orang pelajar tinggal di asrama, manakala 10 kelas akademik termasuk prasekolah disediakan dengan 25 orang guru dan 10 orang Pembantu Pengurus Murid.

 DSC8962ghh

SKPK Alma menyediakan pelbagai kemudahan kepada murid berkeperluan khas seperti asrama, peralatan khas penglihatan dan tenaga pengajar yang berpengalaman. Kategori murid yang layak untuk ke sekolah ini adalah murid yang mempunyai masalah penglihatan seperti buta dan rabun.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1500

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024