USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

40 PESAKIT HEMODIALISIS HUSM TERIMA SUMBANGAN

Hemodialisis 1

KUBANG KERIAN, 1 Julai 2015 – Seramai 40 orang pesakit Hemodialisis Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menerima sumbangan berupa wang zakat dari Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan hamper barangan daripada Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan Berhad sempena Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman dan Presiden POKB, Dato’ Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Unit Hemodialisis, HUSM petang semalam.

Menurut Sheikh Ahmad, POKB prihatin dengan pesakit dan berharap akan dapat menceriakan dan meringankan beban mereka yang terpaksa berulang alik untuk mendapatkan rawatan.

Hemodialisis 2

“POKB juga menghargai kerjasama akrab dengan USM dan sentiasa bersedia untuk meneruskan usaha seperti ini pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh POKB dan Koperasi Warga USM yang tentunya amat bermakna kepada USM mahu pun pesakit.

“Kita akan teruskan kolaborasi seperti ini pada masa hadapan dalam pelbagai bentuk untuk memperkasakan usaha yang dilakukan selama ini demi faedah masyarakat dan orang ramai,” kata Omar.

Pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis di HUSM, Mohamad Nor Deraman, 51, mengucapkan  terima kasih kepada POKB dan Koperasi Warga USM Kelantan Berhad atas sumbangan zakat dan hamper tersebut.

Hemodialisis 3

“Saya merupakan pesakit kronik buah pinggang selama hampir lapan tahun yang terpaksa mendapatkan rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu, oleh itu sumbangan wang zakat yang diterima ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan tambang  kenderaan untuk saya mendapatkan rawatan di sini dan  sangat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan pada hari ini kerana  kekurangan sumber pendapatan dan pesakit yang mendapat bantuan  ehsan dari Tabung Kebajikan Pesakit di bawah  seliaan Unit Kebajikan Perubatan HUSM,” kata Mohamad Nor.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Pengerusi Koperasi Warga USM Kelantan Berhad, Profesor Madya  Dr Mohamed Saat Ismail, Bendahari USM, Dr Rohayati Mohd Isa dan Penyelaras Unit Hemodialisis HUSM, Dr Azreen Syazril Adnan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1102

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024