USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BINA SEGERA INDEKS RISIKO BANJIR DAN TUBUH SATU PUSAT SEHENTI BENCANA

DSC 0285

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Februari 2015 - Usaha perlu dibuat untuk membina segera Indeks Risiko Banjir dan menubuhkan satu pusat sehenti bencana untuk masa hadapan bagi kegunaan semua pihak dalam menghadapi risiko bencana seperti ini.

Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam sidang media selepas penutupan Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015 anjuran USM dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama-sama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan di sini.

DSC 0280

Hadir di majlis tersebut  ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato' Hj. Mohd Faudzi Haji Che' Mamat, Timbalan Pengarah Teknikal JPPK Wan Mazuki Wan  Ismail dan Naib Canselor UMK Profesor Dato' Dr. Mortadza Mohamed.

Pada majlis yang sama, USM dan UMK menandatangani Surat Hasrat untuk USM melalui Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) menjalankan penyelidikan sistem dan infrastruktur mitigasi banjir untuk kampus UMK Pengkalan Chepa.  

DSC 0304

Naib Canselor USM dan Naib Canselor UMK selaku penganjur utama persidangan turut menyampaikan Resolusi Persidangan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Timbalan Pengarah Teknikal JPPK untuk perhatian kerajaan. 

Menurut Omar, cadangan membina indeks tersebut yang berkait rapat dengan pemetaan risiko banjir atau dikenali sebagai "flood risk map" adalah antara beberapa cadangan yang terkandung dalam resolusi persidangan tiga hari tersebut.

"Usaha ini penting untuk memastikan semua pihak mempunyai data yang sahih dan maklumat yang tepat terhadap perkembangan bencana banjir di samping pelan tindakan atau SoP yang dapat digunakan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pada peringkat kampung," kata Omar.

Menurut Omar lagi, bencana banjir yang berlaku melibatkan bilangan besar rakyat Kelantan dan di beberapa negeri lain memerlukan usaha bersepadu untuk menghadapinya, bukan sekadar membantu seperti mana yang berlaku tetapi juga usaha-usaha lain yang bukan hanya bergantung kepada pihak kerajaan dan pelbagai agensi yang ada tetapi semua pemegang taruh yang berkaitan.

DSC 0346

"Begitu juga dengan keperluan untuk mewujudkan pangkalan data yang dapat menyelaraskan semua usaha, termasuk dalam hal yang berkaitan dengan perubahan iklim yang berkait rapat dengan pemanasan global yang seharusnya dipandang serius kerana bencana seperti ini boleh berlaku lagi pada masa hadapan," jelas Omar.

Terdahulu dalam kesimpulan penutupnya, Omar memaklumkan yang persidangan ini berjaya menghasilkan pelbagai pendapat yang memberikan kerangka holistik baharu,  pengurusan berbentuk matrik, Sistem Maklumat Bersepadu Awam, Sistem Maklumat Bersepadu Persekutuan, satu pusat sehenti bencana (OSC), Program Latihan Pengurusan Risiko Bencana bagi Pembangunan Lestari (DRM-SD) Kebangsaan, keupayaan membina Indeks Risiko Banjir Kebangsaan, keupayaan membina Sistem Pemantauan Siap sedia Banjir, Makmal Pakar Pemurnian Kerangka DRM-SD dan cadangan membina Makmal Pakar Menentukan Kesahihan Punca Banjir.

Katanya lagi, persidangan ini  juga berjaya menghasilkan anjakan perdana yang menekankan kepada pengupayaan masyarakat untuk menghadapi banjir terutama di kawasan risiko, pengupayaan institusi menghadapi banjir dan cadangan-cadangan untuk pendidikan berterusan sebagai persediaan menghadapi bencana.

Persidangan ini berjaya  menarik penyertaan kira-kira 500  orang peserta yang terdiri daripada 188 ahli akademik, 175 orang pakar,  47 orang  profesor, 372 kakitangan awam, 25 orang wakil pertubuhan sukarela (NGO) serta selebihnya adalah pelajar dan mangsa banjir.

Persidangan ini juga telah menghasilkan resolusi setebal hampir 60 halaman daripada cadangan yang dibuat oleh para peserta melalui  perbincangan "Townhall"  dan pembentangan panel yang dibuat dengan berasaskan Model Pengurusan Risiko Bencana bagi Pembangunan Lestari (DRM-SD) yang telah dibangunkan oleh Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM bertujuan untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku bencana dengan menekankan kepada komponen-komponen kitaran meliputi usaha pencegahan (prevention), kesediaan (preparedness), tindakan (response) dan pemulihan (recovery), yang  diikat oleh Tadbir Urus (governance) yang menumpukan kepada kejadian sebelum, semasa dan selepas bencana. 

Model ini menghubungkan semua komponen kitaran DRM dan menjelaskan kepentingan pengurangan risiko progresif sebagai pilihan terbaik untuk pengurusan bencana dalam tadbir urus tempatan dan negara menuju  kelestarian. - Teks: MOHAMAD BIN ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 1625

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024