USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-PHARMANIAGA BANGUN MODEL FARMASI KOMUNITI

IMG 0136

PULAU PINANG, 13 Februari 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Racun Negara (PRN) dan anak syarikat Pharmaniaga Berhad (PB) iaitu Pharmaniaga Pristine Sdn. Bhd. (PPSB) akan mewujudkan dan membangunkan satu model farmasi komuniti yang akan menjadi tapak latihan bagi pelajar-pelajar farmasi dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

“Model ini adalah bagi menyediakan modal insan terlatih dalam pengurusan farmasi komuniti untuk PPSB serta menawarkan program-program kesejahteraan kesihatan kepada agensi kerajaan dan swasta,” ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman di majlis penandatangan Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama PB di sini hari ini.

IMG 0168

“Saya berharap melalui MoC ini, kepakaran dan pengalaman yang ada di PRN akan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak seterusnya berpeluang memperluaskan lagi bidang kerjasama bukan sahaja dalam aspek perkhidmatan dan latihan tetapi juga dalam penyelidikan selari dengan agenda APEX Fasa II bagi USM dan misi PPSB,” tambah Naib Canselor.

Menurut Pengarah Urusan PB, Dato’ Farshila Emran, PB berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik serta memperbaiki proses pembelian dan juga penghantaran.

“Kami juga bersedia untuk menjalinkan kerjasama serta menganjurkan program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terutamanya untuk pelajar menceburi bidang keusahawanan dalam aspek farmasi,” tambah Farshila.

jjkfgj

Selain MoC tersebut turut ditandatangan adalah Memorandum Perjanjian (MoA) bersama anak syarikat Pharmaniaga Berhad iaitu Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd bagi pembekalan sebahagian daripada ubat-ubatan termasuk vaksin dan alat-alat pakai habis perubatan, pembedahan dan diagnostik kepada Hospital USM.

Melalui perjanjian ini pelbagai kemudahan diterima termasuk penjimatan masa dan tenaga, pembelian secara berperingkat serta penggunaan ubat yang seragam di hospital-hospital.

IMG 0192g

Turut hadir ialah Pengarah Hospital USM, Dato’ Dr Zaidun Kamari, Pengarah PRN Profesor Madya Razak Lajis, Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan, Keusahawanan dan Pengurusan Risiko dan Ketua Pegawai Eksekutif PB, Mohamad Iqbal Abdul Rahman. Teks: Nor Rafizah Md Zain /  Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1783

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024