USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN UMK ANJUR PERSIDANGAN PENGURUSAN BENCANA BANJIR KELANTAN 2015 DI KELANTAN

Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menganjurkan Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015 pada 14 hingga 16 Februari ini di Dewan Utama, USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian Kelantan.

Persidangan ini juga mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Antara fokus utama persidangan adalah:

1)         Ucap Utama oleh Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Naib Canselor UMK Profesor Dato’ Dr. Mortaza Mohamed pada hari Sabtu, 14 Februari 2015, mulai jam 8.15 pagi yang akan memberikan latar pengalaman dan peristiwa banjir besar Kelantan 2014;

2)         Majlis Makan Malampada hari Sabtu, 14 Februari 2015 jam 8.00 malam di Grand Riverview, Kota Bharu;

 

3)         Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara USM melalui Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) dengan HR Wallingford Ltd United Kingdom untuk kerjasama dan pertukaran antarabangsa dalam pengurusan air dan sungai pada hari Ahad, 15 Februari 2015, jam 10.30 pagi di Pejabat Pengarah Kampus, USM Kampus Kesihatan Kelantan.

HR Wallingford adalah badan penyelidik bebas dan perundingan kejuruteraan hidrolik persekitaran yang ditubuhkan pada tahun 1947.

HR Wallingford akan diwakili oleh Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Andrew J. Brown manakala USM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

4)         Majlis Penutup, Penyerahan Cadangan serta Penandatanganan Surat Hasrat (Letter of Intent - LOI) di antara USM dengan UMK untuk kerja penyelidikan mengatasi masalah banjir di Kampus UMK Pengkalan Chepa. Majlis ini akan berlangsung pada hari Isnin, 16 Februari 2015, jam 12.00 tengah hari di Dewan Utama USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian. Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Y.Bhg. Dato’ Makhtar Mustapha dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato’ Hj. Mohd Faudzi Hj. Che’ Mamat dijangka hadir di majlis ini.

Persidangan akan disertai kira-kira 400 orang yang mewakili universiti-universiti tempatan pertubuhan sukarela (NGO) pelbagai agensi kerajaan, persatuan dan pertubuhan, pihak swasta dan hospital-hospital  di samping lebih 20 orang panel pakar di dalam bidang-bidang tumpuan iaitu sosial, infrastruktur, ekonomi/penghasilan, alam sekitar/merentas-topik dan rangka kerja/polisi dan pakar rujuk untuk perbincangan semasa forum persidangan. 

Menurut Konvenor Persidangan, Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim, tujuan utama persidangan ini adalah untuk menyediakan platform kepada  semua pemegang taruh (stakeholder) yang relevan untuk membincangkan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan bagi tujuan pemulihan dari kesan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

Kamarulazizi adalah Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (Centre for Global Sustainability Studies – CGSS) USM menjelaskan, terdapat  lima isu utama daripada pelbagai bidang akan dibincangkan secara terperinci iaitu isu sosial, infrastruktur, ekonomi/penghasilan, alam sekitar/’cross cutting’ dan rangka kerja/polisi.

“Pendekatan ini diharapkan mampu memastikan perancangan yang lestari dapat dibangunkan bagi memastikan kesejahteraan, terutamanya rakyat Negeri Kelantan.

Pakar-pakar dalam lima bidang fokus adalah dari universiti tempatan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri dan NGO, yang akan membentangkan kertas kerja dan berbincang dengan stakeholder yang relevan di Kelantan," jelas Kamarulazizi.

Tambahnya lagi, hasil yang diperolehi daripada persidangan ini akan didokumenkan dan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, agensi-agensi berkaitan dan pusat-pusat penyelidikan yang akan membantu dalam menjayakan pemulihan dan pembangunan pasca banjir yang lestari di Negeri Kelantan.

Pelan tindakan ini adalah mengikut konsep yang telah dibangunkan oleh CGSS iaitu Pelan Disaster Risk Management for Sustainable Development yang menumpukan kepada kejadian sebelum, semasa dan selepas bencana yang terdiri daripada pencegahan (prevention), kesediaan (preparedness), tindakan (response) dan pemulihan (recovery), dan keempat-empat konsep ini ditentukan oleh Tadbir Urus (governance).

Menurut Kamarulazizi, hasil yang diharapkan dari persidangan ini ialah peserta diharapkan akan mendapat pengetahuan dan pemahaman tentang pemulihan pasca banjir terutamanya dalam isu-isu berkaitan pemulihan pasca banjir yang diperdebatkan dan didokumenkan.

“Pada akhir sekali, satu dokumen yang komprehensif akan disediakan untuk mendapat pertimbangan bagi tujuan kolaborasi dan jaringan di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, agensi-agensi berkaitan supaya pusat penyelidikan pasca banjir dapat dilaksanakan segera,” katanya lagi.

Teks: Mohamad bin Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 2337

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024