USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANYAK BOLEH DICONTOHI DARI USM – DELEGASI GHANA

IMG 0005

PULAU PINANG, 11 Feb. 2015 – Pembangunan pesat dan pelbagai kisah kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM) sejak mula ditubuhkan pada 1969 sehingga ke hari ini disifatkan sebagai mengagumkan dan banyak yang boleh dicontohi darinya.

Demikian kata salah seorang wakil delegasi dari Ghana merangkap Koordinator Projek, Dr. Sampson John Coleman yang hadir ke USM sempena lawatan kerja bagi melihat peluang kolaborasi dengan Malaysia dan juga universiti-universiti di negara ini, di sini hari ini.

Katanya, USM telah berkembang dengan pesat dan berjaya menghasilkan output yang cemerlang khususnya dalam penawaran program-program akademik dan bidang pembangunan penyelidikan.

IMG 0017k

``Ghana mencapai kemerdekaan pada tahun yang sama dengan Malaysia iaitu pada 1957. Pun begitu, ia masih sedikit ketinggalan dari negara ini dan banyak yang perlu dilakukan untuk mendepani cabaran dalam menjayakan pembangunan sebuah negara.

``Ghana juga mempunyai sistem pengajian tinggi yang baik namun masih ada jurang yang perlu didekatkan untuk negara ini mencapai tahap kemajuan seiring dengan negara-negara lain yang jauh lebih ke hadapan,’’ katanya.

Delegasi lapan warga Ghana itu diketuai Pengerusi Kumpulan DelimanOil, sebuah agensi swasta yang menjadi antara peneraju bidang pemasaran minyak, pendidikan, pengurusan projek dan operasi penerbangan negara Afrika tersebut.

IMG 0018

Sampson juga berkata, pihaknya amat berminat untuk berkolaborasi dengan USM khususnya dalam beberapa aspek lain selain pengajian tinggi, termasuk dari segi pengurusan pengangkutan, tenaga diperbaharui, libatsama komuniti dan sebagainya.

``Kami amat teruja kerana lawatan kerja ke negara ini dan USM khususnya amat tepat dengan objektif yang ingin dicapai. Kita juga berharap berharap kerjasama ini akan berlanjutan seterusnya membantu Ghana mencapai agenda pembangunannya,’’ katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan pula berkata, USM sedia bekerjasama dengan Ghana untuk manfaat pembangunan pengajian tinggi dan pembangunan kedua-dua negara.

IMG 0034

Beliau menegaskan, USM bersedia berkongsi kepakaran yang ada termasuk dalam hal-hal pembangunan penyelidikan yang memberi impak kepada pembangunan negara dan sosio-ekonomi komuniti di negara ini.

``Kita mempunyai pelbagai kajian yang boleh dijadikan penanda aras, selain boleh berkongsi idea terhadap model-model libatsama industri yang berjaya memberi impak kepada negara dan pengajian tinggi di Malaysia,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1288

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024