USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CIPTA SISTEM PENGKELASAN KESIHATAN PERGIGIAN PERTAMA DI DUNIA

P7

KUBANG KERIAN, KELANTAN 27 November 2014 – Hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya  menghasilkan  satu  sistem  pengkelasan  kesihatan  pergigian  pertama  seumpamanya  di  dunia  yang  dikenali sebagai Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian (SGKKP) yang  pertama kali  dibangunkan di dunia untuk memenuhi keperluan sektor jagaan kesihatan pergigian.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika berucap melancarkan SGKKP “Oral Health Casemix System”  Kampus Kesihatan USM di sini berkata  sistem yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh orang awam dalam mendapatkan rawatan  kesihatan pergigian yang lebih baik tetapi juga mampu menjadi tanda aras kualiti dan kuantiti pengunaan sumber dan kos dalam rawatan tersebut kepada pihak pengurusan terbabit.

P500

“Dengan adanya tarif dan pengkelasan rawatan yang sistematik dapat memudahkan pihak hospital untuk menguruskan urusan kewangan dan bajet dengan lebih efisyen lagi,” kata Omar.

Beliau juga berharap dengan terhasilnya sistem yang canggih sebegini dapat membantu pihak universiti untuk  memantapkan  lagi  aspek  pendidikan  agar  para  graduan  yang  dikeluarkan  nanti  juga mampu  memberi perkhidmatan yang berguna kepada masyarakat umum.

P600

“Kepakaran dan kemudahan yang kita ada di USM akan kita gunakan sepenuhnya dalam pelbagai bidang untuk memastikan matlamat utama universiti akan tercapai dengan jayanya,” tambah beliau lagi.

Sistem ini dibangunkan oleh para penyelidik dari Pusat Pengajiian Sains Kesihatan USM dan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM bersama-sama International Casemix and Clinical Coding Center (ITCC) dan Fakulti Pergigian, UKM.

Sistem Gabungan Kes (Casemix System) merupakan sistem pengkelasan pesakit berdasarkan episod rawatan yang diterima oleh pesakit. Konsep sistem ini adalah untuk memudahkan proses pendiagnosan pesakit yang umum mengetahui ianya kompleks dengan menggabungkan pesakit-pesakit tersebut kepada satu kategori diagnosis yang sama serta bermakna secara klinikal dan penggunaan sumber yang sama dalam rawatan yang diberikan.

P8

Kategori penyakit ini dikenali sebagai Case-Based Groups (CBG) yang dihasilkan daripada penggunaan perisian berinovasi tinggi, Malaysia DRGTM (MY-DRGTM). Grouper yang mengkategorikan keadaan pesakit kepada CBG tertentu yang sama dari sudut keperluan klinikal dan ekonomi. Oleh itu, purata sumber yang digunakan untuk setiap kumpulan diagnosis dapat dikenalpasti dengan tepat.

Sementara itu,  Ketua Projek Pembangunan SGKKP Kampus Kesihatan USM  Dr Rosminah Mohamed berkata kelebihan dalam sistem yang dibangunkan ini ialah ia mampu mengkategorikan  kumpulan pesakit pergigian di Malaysia dengan butiran  yang lebih tepat.

“Melalui perisian MY-DRGTM Grouper dapat  mengkelaskan  pesakit  oral  yang  mendapat rawatan mengikut keperluan masing-masing dan memudahkan proses  pendiagnosan kepada pesakit berkaitan,” kata Rosminah.

“Sehingga kini seramai 28,000 orang pesakit oral telah  berjaya dikelaskan mengikut kategori di kedua-dua  universiti iaitu di USM dan UKM,” tambahnya lagi.

P10

USM telah melaksanakan penggunaan Sistem Gabungan Kes untuk rawatan perubatan pesakit dalam dan kini berada dalam tahun kedua perlaksanaannya untuk mencapai matlamat ekonomi dan keberkesanan perkhidmatan jagaan kesihatan. Ianya juga penting untuk perancangan peruntukan sumber di hospital, pengurusan hospital dan juga untuk pemantauan kualiti jagaan kesihatan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Dekan Fakulti  Pergigian UKM, Profesor Dato’ Dr. Ghazali Mat  Nor yang mewakili Naib Canselor UKM, Pengarah  Hospital  USM,  Dato’  Dr.  Zaidun  Kamari, Profesor  Dato’ Dr Syed Mohamed Aljunid, Ketua International Centre for Casemix and Clinical Coding (ITCC), Fakulti Perubatan UKM dan  Pengarah  Kanan  Kesihatan  Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Khairiyah Abd Muttalib.  Teks Asal & Foto : Mohd. Rodin bin Che Yusoff  Suntingan: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1440

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024