USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR PASAR MYAGROSIS

PULAU PINANG, 1 Disember 2014 - Para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Kelab MyAgrosis telah menganjurkan Pasar MyAgrosis USM (PMAUSM) bagi mengetengahkan bakat-bakat keusahawanan para pelajar.

Pasar Myagrosis ini juga adalah medan untuk para pelajar menimba ilmu perniagaan serta belajar untuk menguruskan perniagaan secara bersama-sama dengan rakan-rakan.

“Idea untuk mengadakan Pasar MyAgrosis USM ini tercetus apabila kelab kami ingin membawa konsep pasar tani ke dalam kampus USM. Pasar seperti ini adalah sangat bertepatan dengan misi kelab kami iaitu untuk melahirkan usahawan siswazah yang berkeyakinan di dalam bidang pengeluaran serta pemasaran produk agromakanan,” ujar Yang Dipertua Kelab MyAgrosis USM Nordiayana Yahya.

“PMAUSM juga terbuka kepada orang awam untuk menjalankan perniagaan dan pada hari ini terdapat 49 tapak yang telah ditempah,” tambah Nordiayana.

“Program sebegini sangat bagus untuk dianjurkan dan saya berbangga dengan USM yang menjadi universiti pertama menganjurkan Pasar MyAgrosis ini,” ujar salah seorang peniaga, Khasim Mohamad Hanafiah yang menjual barangan kering seperti keropok, ikan bilis dan juga belacan.

Turut menjalankan perniagaan ialah Perkumpulan Siswa-siswi Sabah (PERSIS) yang menawarkan kelainan dengan menjual Nasi Lalap.

“Kami menyertai program ini adalah untuk mengumpul dana untuk menjalankan pelbagai aktiviti persatuan. Jika dahulu kami hanya mengumpul sumbangan daripada pihak luar, tapi kali ini kami berusaha sendiri menjalankan perniagaan bagi mengumpul dana,” kata wakil PERSIS, Ilham Abdullah.

Penganjuran PMAUSM adalah dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Pasar ini menawarkan 60 tapak untuk disewa bagi setiap hari Jumaat dengan bayaran yang minima untuk menjual bahan mentah seperti sayur, ikan dan daging dan juga bahan kering seperti pakaian, aksesori dan pelbagai produk lain.

Warga kampus dan juga orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Pasar MyAgrosis USM pada setiap hari Jumaat bermula jam 3.30 petang hingga 9.00 malam di parkir kereta Perpustakaan Hamzah Sendut 2 (PHS 2) Bangunan E41 USM. - Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1566

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024