USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN IDR TUBUH MAKMAL WARISAN EKO

DSC 0097

PULAU PINANG, 1 Disember 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga Institut Darul Ridzuan (IDR) akan menubuhkan secara bersama “USM-IDR Eco Heritage Lab”  bagi meningkatkan penyelidikan serta pembangunan di Tasik Banding, Perak.

“Makmal Warisan Eko ini akan dilengkapi dengan pusat latihan dan rekreasi yang akan dapat dijadikan pusat penyelidikan tentang apa sahaja disiplin ilmu yang ada kaitannya dengan Tasik Banding,” ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman dalam majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IDR.

 “Memorandum Persefahaman juga melibatkan kerjasama penyelidikan dalam isu-isu libatsama dan isu-isu masa depan bagi kedua-dua pihak. Pada masa yang sama dapat  bekerjasama dengan organisasi di bawah kepimpinan Menteri Besar YAB. Dato’ Seri Dr. Zamry Abdul Kadir untuk membantu negeri Perak menjadi negeri maju,” kata Omar.

“Pelbagai aktiviti juga telah dirancang bersama IDR seperti pembangunan modal insan bersama Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) dan juga aktiviti khidmat masyarakat dengan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM),” tambah Naib Canselor.

“IDR amat berbesar hati dan teruja untuk bekerjasama dengan USM, universiti terulung di Malaysia untuk menggerakkan Perak dan matlamat sosio - ekonomi ke hadapan.

“USM juga mempunyai satu pasukan pelbagai disiplin dari kalangan kakitangannya untuk menjalankan penciptaan, pembangunan , penyebaran dan penggunaan pengetahuan yang boleh menyumbang ke arah mencapai matlamat kerajaan untuk pembangunan negara,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif IDR,  Dr. Mazalan Kamis.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Profesor Dato’ Dr. Mohd. Mokhtar Saidin dan juga Ketua, Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan IDR  Dr. Asae Sayaka dan pegawai-pegawai utama USM dan IDR. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1265

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024