USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAMPUS KESIHATAN USM IPTA PERTAMA DIIKTIRAF AMAL PENGURUSAN KEJAT

Sijil Amalan LEAN

KOTA BHARU – Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di negara ini diberi pengiktirafan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) kerana melaksanakan Amalan Pengurusan Kesihatan Kejat (Lean Health Care). 

Pengiktirafan tersebut telah diberikan oleh MPC sempena majlis perasmian "Annual Productivity & Innovation Conference And Exposition (APIC) 2014 In Conjunction with 20th Asia Pacific Quality Conference (APQC)" di  Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 24 November lalu.

Penyelaras  Pengurusan Kejat, Kampus Kesihatan USM, Haji Wan Mohd Suyuti Wan Ismail mewakili Pengarah Kampus Kesihatan USM menerima sijil pengiktirafan tersebut daripada Pengerusi MPC, Tan Sri Azman Hashim.

Menurut Mohd Suyuti, Pengurusan Kejat adalah kesinambungan daripada Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S yang telah dilaksanakan di Kampus Kesihatan sejak tahun 2010.

"Pengurusan Kejat  merujuk kepada koleksi prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang memberi tumpuan kepada mengenalpasti dan menghapuskan aktiviti yang tidak memberi nilai tambah (pembaziran) dalam mana-mana proses.

"Projek ini bermula pada  Februari 2014 di bawah khidmat nasihat perunding  yang dilantik oleh MPC dengan  lima projek yang dikenalpasti untuk dijadikan 'pilot' dan dilaksanakan pada peringkat awal melibatkan lima unit yang terpilih di Kampus Kesihatan iaitu Unit Kejururawatan, Jabatan Farmasi, Unit Pemulihan, Unit Sokongan Klinikal dan Perkhidmatan Pergigian," jelasnya lagi.

Sijil Amalan LEAN 2

Tambah Wan Mohd Suyuti, yang dilaksanakan ialah Proses Pengurusan Pesakit Untuk Prosedur ESWL Di Dewan Bedah, Mengurangkan Masa Pembekalan Ubat Ke Wad Melalui Troli Ubat, Penambahbaikan Proses Pembekalan Alat Ortosis Di Unit Pemulihan, Mengurangkan Masa Pesakit Mendapatkan Rawatan Di Klinik Rawatan Keluarga dan Mengurangkan Masa Proses Pengambilan X-Ray Yang Dipohon Oleh Klinik Swasta.

"Projek yang dijalankan ini diharap dapat menambahbaik dan mempercepatkan sistem penyampaian produk atau perkhidmatan yang dihasilkan serta memberi kepuasan kepada pelanggan," kata Wan Mohd Suyuti. - Teks & Foto: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Suntingan: Mohamad bin Abdullah​

  • Created on .
  • Hits: 1201

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024