USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KYOWA ELECTRONIC INSTRUMENTS JEPUN PELAWA PELAJAR USM JALANI LATIHAN INDUSTRI

KYOWA 9132

NIBONG TEBAL, 4 Disember 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam mengukuhkan lagi jaringan kerjasama dan hubungan antarabangsanya melalui kerjasama  dengan Kyowa Electronic Instruments Co., Ltd., Japan.

Delegasi tersebut diketuai oleh Presidennya, Yoshio Hoshi, Pengarah Bahagian Luar Negara, Yoshio Saito, Pengarah Bahagian Pentadbiran Korporat, Giichi Tanaka dan Pegawai Pemasaran Luar Negara, Shinnosuke Haraguchi.

KYOWA 9109

Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Ahmad Farhan bin Mohd Sadullah, Kampus Kejuruteraan USM dapat  memperluaskan jaringan kerjasama dengan industri dari negara matahari terbit ini melalui syarikat Kyowa yang terkenal di Jepun yang akan memberi faedah dalam pembangunan masa hadapan negara seperti Malaysia sesuai kedudukan mereka sebagai negara maju berteknologi tinggi.

"Kita perlu belajar dan melihat peluang-peluang yang boleh diambil untuk memastikan kelestarian serta agenda USM sebagai sebuah universiti APEX," katanya semasa memberi ucapan alu-aluan di majlis meraikan delegasi tersebut.

KYOWA 9119

Ahmad Farhan mempunyai kontrak penyelidikan dengan Kyowa dalam projek mengkaji kemampanan jalan raya dan lebih muatan.

Menurut Ahmad Farhan, sesuai dengan agenda APEX, hubungan akrab ini membuka peluang kepada semua Pusat Pengajian Kejuruteraan USM untuk bekerjasama dengan Kyowa  dalam penggunaan peralatan dan kepakaran serta memanfaatkan pengalaman mereka dalam menyelesaikan masalah terutamanya dalam konteks Malaysia.

KYOWA 9017

Sebahagian dari komitmen kerjasama dan persahabatan ini, Kyowa telah menghadiahkan sistem "data logger" pelbagai guna kepada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dengan anggaran kos bernilai RM140,000.

Sementara itu, Yoshio Hoshi menyifatkan kunjungan ini sebagai permulaan yang baik ke arah kerjasama lebih erat di antara Kyowa dan USM.

"Saya amat berbesar hati dan gembira dengan majlis ini seterusnya dapat bekerjasama dengan salah sebuah universiti yang terulung di Malaysia ini," katanya.

KYOWA 8998

Beliau turut mengalu-alukan pelajar USM untuk malaksanakan program latihan industri di syarikatnya yang berpangkalan di Chofu, Tokyo.

"Saya pasti penempatan pelajar dalam program latihan industri ini dapat mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin antara Jepun dan Malaysia sekaligus membolehkan kami lebih memahami budaya negara ini," tambahnya lagi.

KYOWA 9067

Delegasi turut dibawa melawat ke makmal geoteknik dan struktur berat di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, makmal getaran dan nano fabrikasi di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik serta makmal kuasa dan mekatronik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. - Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai​

  • Created on .
  • Hits: 1624

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024