USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SHERP: PELBAGAI ISU PENGAJIAN TINGGI DIBINCANG

PULAU PINANG, 4 Disember 2014 - Terdapat sekurang-kurangnya empat cabaran utama dihadapi oleh institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini iaitu mengekal dan meningkatkan kualiti pendidikan walau pun tatkala berhadapan dengan kekangan kewangan yang serius, peningkatan kerelevanan kurikulum dan pengajaran tatkala berlakunya perubahan serius dalam keperluan pasaran tenaga kerja, peningkatan dan penggunaan yang lebih baik sumber-sumber kewangan yang terdapat di  IPT dan keperluan untuk seimbangkan peluasan akses kepada pengajian tinggi dengan perhatian besar yang diberi dan keperluan untuk meningkatkan kualitinya.

Cabaran-cabaran itu adalah berdasarkan laporan Asian Development Bank 2011.

Felo Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) Profesor Dato’ Dr. Morshidi Sirat berkata, sehubungan dengan itu juga negara memerlukan visi yang kukuh untuk masa hadapan pengajian tinggi di Malaysia mahu pun Asia, objektif-okjektif dan mengenal pasti tujuan-tujuan untuk penjenamaan untuk tindakan yang sewajarnya, pandangan-pandangan profesional dalam menghadapi segala halangan dalam perubahan pasaran serta membuat penilaian terhadap nilai jenama pengajian tinggi dan lanskap pengajian tinggi Asia pada masa hadapan.

Bercakap ketika membentangkan kertas kerjanya, “Higher Education as a Driver to Asia’s New Era: Positioning Education Malaysia Brand” dalam Seminar on Higher Education Research Policy anjuran IPPTN di sini hari ini,  Morshidi berkata, untuk memastikan Malaysia dapat bergerak seiring dengan pembangunan, usaha-usaha perlu dilakukan dengan mengambil kira kerangka strategik yang responsif dan saling berinteraksi kepada peranan teknologi, rakan kerjasama dan penyelidikan untuk memainkan peranan agresif di pentas antarabangsa.

“Jenama pendidikan Malaysia seharusnya mempunyai tunjang budaya, agama resonan politik untuk mempromosikan produknya  dengan penekanan kepada gaya hidup, budaya dan kualiti dalam pendidikan yang rencahnya ditambah dengan nilai-nilai kepelbagaian kaum, agama dan pengalaman penjajahan yang dapat mengerakkannya dalam pasaran Asia mahu pun dunia,” tambah Morshidi.

Beliau menggesa agar pembuat dasar dalam pengajian tinggi negara segera membangunkan nic dan keperluan membentuk pelajar yang mempunyai nilai “glocal” yang menggabungkan perubahan dalam institusi, demografi, ekonomi dan lanskap politik dalam pasaran Asia yang berkembang.

“Kita memerlukan pendekatan strategik yang inovatif dalam polisi pengantarabangsaan negara, idea-idea besar dalam pengajian yang perlu disusuli dengan ‘big how’,” kata Morshidi.

Sementara itu Felo Penyelidik IPPTN dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Profesor Madya Dr. Abdul Razak bin Ahmad berkata, generasi muda negara ini mungkin semakin hilang kepercayaan mereka terhadap pelbagai institusi yang ada, tetapi masih menaruh harapan yang tinggi kepada IPT.

“Kerana itu, universiti kita perlu memainkan peranan dengan menonjolkan keintelektualan yang ada dengan sewajarnya dan tidak menjadikan institusi pengajian tinggi negara begitu sepi dan seolah-olah tidak responsif kepada persekitaran yang ada,” kata Abdul Razak ketika membentangkan tajuk “Why Higher Education? Implication for Research and Policy”.

Tambahnya, peranan intelektualan universiti perlu ditonjolkan serta mengetengahkan lebih ramai tenaga-tenaga muda yang banyak terdapat dalam IPT dalam kepimpinan akademik yang boleh memberikan sumbangan dan input keilmuan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di arena antarabangsa.

“Naib-naib Canselor kita misalnya perlu diberikan peluang untuk lebih memainkan peranan mereka dalam kepimpinan akademik terutamanya dalam perbahasan akademik, berfokus kepada pengantarabangsaan dengan memperkukuhkan jaringan antarabangsa dan tempatan serta berusaha keras untuk menjana dana kepada universiti tanpa banyak terlibat dalam hal-hal yang di luar daripada ketiga-tiga fokus tersebut,” kata Abdul Razak.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Felo Penyelidik IPPTN dari Universiti Malaysia Sabah Profesor Dr. Vincent Pang Ah Fook yang membentangkan tajuk “Teaching and Learning in Higher Education in Malaysia: Aspirations and Realities”, Felo Penyelidik IPPTN dari Taylor’s University Malaysia Profesor Madya Dr. Vikneswaran Nair dan Dr. Thian Lok Boon yang membentangkan tajuk “Strategizing Public-Private Partnership for Higher Education in Malaysia” dan Felo Penyelidik IPPTN dari Universiti Malaysia Kelantan Profesor Dato’ Dr. Ibrahim Che’ Omar yang membentangkan tajuk “The Future of Higher Education in Malaysia”.

Lebih 100 orang ahli akademik dan pelajar mengambil bahagian dalam seminar sehari tersebut.  - Teks: Mohamad bin Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1573

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024