USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KKSSK KAMPUS KEJURUTERAAN BANTU MAJUKAN EKONOMI AHLI

10520684 10205359375888263 7871372565256694926 n

NIBONG TEBAL, 5 Disember 2014 - Kelab Kebajikan Sukan Staf Kejuruteraan, USM Kampus Kejuruteraan (KKSSK) mengorak langkah membantu ahli-ahlinya untuk memajukan diri dalam bidang ekonomi.

“Kita sedar kakitangan kita berhadapan dengan pelbagai kewangan dalam menghadapi keadaan semasa dan ramai yang ingin menceburi bidang keusahawanan tetapi bimbang dengan modal, tiada pengalaman dan risiko tinggi, kerana itu kita berusaha menubuhkan Koperasi KKSSK Pulau Pinang Berhad pada tahun 2010 dan bergerak aktif mulai 2012 untuk membantu mereka dengan sewajarnya terutamanya melalui aktiviti pertanian berisiko rendah,” kata Pengerusi KKSSK Profesor Dr. Nor Azazi bin Zakaria yang juga Pengerusi Lembaga Koperasi KKSSK Pulau Pinang Berhad dalam satu pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.

KKSSK ditubuhkan pada tahun 2003 dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada tahun 2008 yang menggerakkan aktiviti kebajikan dalam kalangan 600 orang ahlinya termasuk mengadakan kegiatan pelancongan ke Vietnam, Beijing dan pada masa hadapan ke Korea Selatan di samping terlibat aktif dalam kegiatan sukan dan rekreasi serta pelbagai aktiviti lain.

“Terkini Koperasi KKSSK sedang melaksanakan projek penanaman gaharu (agarwood/oud/oodh) yang bermula dalam Kejuruteraan dan kini akan dilakukan secara usahasama dengan sebuah syarikat swasta dengan memberikan modal pinjaman oleh koperasi kepada mereka yang berminat melibatkan kira-kira RM2 juta,” kata Nor Azazi.

Setakat ini Koperasi mempunyai 61 orang ahli dengan 34 orang bersetuju melabur RM5,000 untuk menjayakan usaha ini.

Jelasnya lagi, dengan anggaran hasil tuaian teras gaharu berumur enam tahun sekitar RM1,500 sebatang pokok, jumlah pendapatan satu lot yang melibatkan 200 batang pokok ialah RM300,000 yang dibahagi mengikut pembahagian tertentu dalam kalangan mereka yang terlibat.

“Sebanyak 1000 batang pokok gaharu telah mula ditanam dalam kampus pada bulan lalu dan kira-kira 6,000 batang lagi akan ditanam di luar kampus dalam masa yang terdekat,” kata Azazi.

Menurut Azazi, ini adalah percubaan kita untuk membantu ahli-ahli yang secara peribadi telah berjaya diusahakannya sebelum ini.

“Yang penting ialah kita ingin agar KKSSK dapat menjadi kelab kebajikan contoh dalam kalangan universiti negara ini dan dapat berdikari tanpa selamanya bergantung kepada dana universiti dalam membantu ahli-ahlinya meningkatkan pendapatan dan ekonomi mereka,” tambah Azazi.

Beliau menyeru agar lebih ramai lagi menyertai KKSSK dan Koperasi yang ditubuhkan ini yang kini turut mengusahakan kedai runcit dalam Kampus Kejuruteraan USM. – Teks & Foto: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1408

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024