USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-PERANCIS DIPERKUKUH

dutaperancis1

PULAU PINANG, 8 Dis.2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengukuhkan peranannya dalam membangunkan bidang pengajian tinggi, salah satunya dengan mengukuhkan kolaborasinya bersama rakan strategik di peringkat antarabangsa.

Perkara itu dinyatakan dalam kunjungan khas Duta Perancis di Malaysia, Christophe Penot ke USM di sini hari ini, yang turut menjadi lawatan pertamanya ke Pulau Pinang bagi mengukuhkan hubungan diplomasi dengan USM dan beberapa pihak lain di negeri ini.

Kunjungan rasmi tersebut dilihat membuka lebih banyak peluang untuk USM meneliti bidang-bidang tertentu atau penyelidikan yang berpotensi untuk diteroka bersama rakan strategik dari negara berkenaan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM sentiasa meneroka peluang untuk bekerjasama dengan universiti dari negara-negara luar meliputi pelbagai bidang.

dutaperancis2

Mengulas lanjut perkara itu, sebagi contoh jelas beliau, kerjasama dengan negara Perancis dilihat antara kolaborasi yang memberi impak cukup baik dari aspek pembangunan penyelidikan dan juga penerbitan jurnal-jurnal berimpak tinggi.

``Kita telah menjalin kerjasama yang lama dengan Perancis melalui universiti-universiti di negara tersebut dan pensyarah USM turut dilihat aktif dalam menerbitkan jurnal bersama serta membangunkan penyelidikan bersama rakan kolaborasi di negara itu.

``USM juga pastinya akan melihat peluang-peluang baru yang boleh diteroka termasuk dalam bidang-bidang seperti bioperubatan, sains, kejuruteraan, sains perubatan, sains persekitaran dan sebagainya,’’ ujar beliau.

Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, TNC Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapha Kamal dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Mahmood.

Dalam pada itu, Christophe juga menegaskan, Perancis sentiasa komited dalam menjalin hubungan akrab khususnya bersama universiti-universiti terkemuka dunia dan menjalankan pelbagai penyelidikan bersama rakan kolaborasi strategik antarabangsa.

``Hubungan dengan USM sangat bermakna buat Perancis dan memberi impak yang sangat memberangsangkan khususnya dalam pembangunan penyelidikan saintifik dan penerbitan.

``USM dan Perancis mempunyai banyak peluang untuk diteroka secara bersama untuk manfaat pembangunan ilmu dan penyelidikan, dalam masa yang sama membuka peluang untuk pertukaran pelajar dan kakitangan antara kedua-dua pihak,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1419

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024