USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM UCE SUKSIS USM BERI PELUANG MAHASISWA DEKATI MASYARAKAT

ucse2

KEPALA BATAS, Disember 2014 – Berbekalkan tema “Mahasiswa Holistik Masyarakat Dinamik”, Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil inisiatif mengadakan program khidmat masyarakat University Community Engagement (UCE) kepada penduduk Kampung Pokok Jenerih, Kepala Batas.

Program tersebut yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia bermula sejak 12 Oktober 2014 dan akan berakhir pada penghujung bulan Disember ini, melibatkan seramai 28 orang pelatih SUKSIS USM selaku tenaga penggerak.

Majlis Perasmian Penutupan Program UCE tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Roslan Saidin, ADUN Pinang Tunggal di sini baru-baru ini.

Dalam ucapannya Roslan berkata, beliau amat berbesar hati dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi yang sudi membantu penduduk kampung dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang amat bermanfaat dan dapat menambah pengetahuan para penduduk di kampung berkenaan.

“Aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong, ceramah kerjaya, kelas komputer, kelas Bahasa Inggeris dan lain-lain adalah amat dialu-alukan bagi memupuk kesedaran penduduk kampung termasuk kaum ibu supaya menjadi masyarakat yang bermaklumat.

“Saya berharap program seumpama ini tidak berhenti di sini dan akan diadakan lagi pada masa akan datang, dan bagi mahasiswa yang mempunyai keluarga angkat di kampung ini, rajin-rajinlah bertanya khabar dan jika ada kesempatan datanglah menziarahi mereka di sini,” ujar beliau yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat bagi penduduk kampung berkenaan.

ucse1

Sementara itu, menurut Pengarah Projek UCE, Mohd Fadhli Ahmad, bagi membantu meningkatkan penguasaan penduduk kampung dalam bidang ICT, beberapa buah komputer telah disumbangkan oleh pihak USM.

“Adalah diharapkan dengan sumbangan komputer ini akan menyuntik semangat anak-anak kampung khususnya adik-adik yang masih di bangku sekolah untuk mendalami bidang ICT dan belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga menjejakkan kaki ke menara ilmu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Mohd Fadhli, mahasiswa Tahun 3 IImu Pendidikan.

Bagi memeriahkan lagi program pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan kanak-kanak, remaja, belia dan ibu bapa telah diadakan, antaranya ialah pertandingan bercerita, sukaneka, mewarna, boling buah kelapa, gubahan bunga, gubahan tuala, kerusi berirama, pertandingan membuat kerabu.

Selain itu, turut diadakan aktiviti pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seberang Perai Utara serta pemeriksaan kesihatan dan pergigian oleh Pusat Sejahtera USM.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM merangkap Penaung Program UCE Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman, Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM Dr. Nazarudin Zainun, Pengerusi Rancangan Kor Suksis USM Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah, Pegawai Penyelaras Kor Suksis USM Asisten Superintendan Polis Abdul Ghani Mohammad Ali, Pegawai Latihan Kor Suksis USM Inspektor Ganesh A/L Murugayiah dan Ketua Kampung Pokok Jenerih Tuan Haji Abdul Hamid Haji Ismail.

University Community Engagement (UCE) adalah sebuah kluster yang ditubuhkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) bermatlamat untuk merapatkan hubungan universiti dengan masyarakat melalui program kebajikan, kesihatan, khidmat masyarakat, kesukarelawanan dan pendidikan.

Matlamat penubuhannya adalah sejajar dengan visi dan misi USM yang komited dalam usaha untuk mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka. - Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 2114

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024