USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DR. ADNAN HARGAI KEPERCAYAAN KEMENTERIAN - DISAMBUNG SEMULA SEBAGAI TNC (HEPP)

 

DSC 9453a

PULAU PINANG, 18 Disember 2014 - Profesor Adnan bin Hussein, 56, disambung semula sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) bermula 1 Disember lalu selama 2 tahun melalui surat yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

Anak kelahiran Kota Bharu Kelantan ini mula memegang jawatan tersebut pada Disember 2011 apabila Timbalan Naib Canselor (HEPP) ketika itu, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dilantik menjadi Naib Canselor.

Adnan yang menyambut ulang tahun kelahiran Ke-56 pada 15 Disember lalu memegang  ijazah sarjana dalam bidang kewartawanan dan komunikasi massa dari Iowa State University dan doktor falsafah dari University of Utah, mula berkhidmat di USM pada tahun 1994. Beliau sebelum ini adalah Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM.

“Saya menganggap pelantikan ini sebagai amanah besar dalam meneruskan agenda APEX universiti terutamanya dalam menjayakan program-program yang berkaitan pembangunan pelajar,” kata Adnan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan II dan pihak Kementerian Pendidikan yang memberikan kepercayaan dengan menyambung jawatan tersebut.

“Saya juga berterima kasih kepada Naib Canselor yang sentiasa memberikan dorongan dan bantuan dalam membantu dan memudahkan saya menjalankan tugas selama ini serta seluruh kepimpinan universiti dan pelajar,” tambah Adnan.

Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mengucapkan tahniah kepada Adnan dan mengharapkan beliau akan meneruskan usaha cemerlang yang dilakukannya selama ini dalam membantu universiti dan pelajar sesuai dengan harapan yang ada.

“Saya percaya Adnan mampu melakukannya dengan lebih baik lagi dan bersama-sama universiti untuk menggembleng kekuatan pelajar untuk memacu kecemerlangan universiti,” kata Omar. - Teks: Mohamad bin Abdullah.

  • Created on .
  • Hits: 1706

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024