USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED REALISASIKAN DPP ASEAN

dppusm1

PULAU PINANG, 20 Dis.2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) komited untuk merealisasikan penubuhan Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa dalam kalangan universiti-universiti di ASEAN, selaras dengan usaha Universiti mengembangkan DPP ke persada antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar USM, Profesor Adnan Hussein berkata, perkara itu sedang dalam kerangka awal perbincangan dan akan cuba dijayakan pada tahun 2015.

Katanya, DPP ASEAN adalah permulaan kepada pengembangan jaringan pelajar di peringkat antarabangsa, sebelum diteruskan dengan penglibatan universiti di seluruh negara.

``DPP USM sedang giat untuk menjayakan hasrat ini, yang pada Universiti dilihat sebagai satu proses yang cukup memberangsangkan dan perlu diberikan sokongan sewajarnya bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus tamat Majlis Perasmian Mesyuarat DPP 2014/2015 yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di sini hari ini.

dppusm4

Adnan juga berkata, DPP USM adalah daripada semangat dan usaha mahasiswa dengan kerjasama pihak pentadbiran Universiti, yang mana Universiti memberikan penghakupayaan sepenuhnya kepada mahasiswa dalam melontar idea dan pandangan berkenaan sesuatu isu.

``Sesuai dengan peranan USM sebagai menara ilmu, DPP dibuat dengan tujuan melatih pemimpin dalam kalangan pelajar menggunakan platform rasmi untuk berbahas dan berdebat secara rasional dan disertakan dengan data dan fakta.

``Mereka dilatih berbahas dan menyatakan pandangan secara berhemah dan tidak emosional, dengan harapan ia akan diserap dan dibudayakan oleh para pelajar yang mungkin juga akan menjadi pemimpin di lapangan kerjaya masing-masing satu hari kelak,’’ katanya.

Ronald pula yang kali pertama hadir menyaksikan perjalanan DPP turut melahirkan rasa teruja dan gembira melihat semangat pelajar USM dalam merealisasikan Parlimen Mahasiswa yang pertama di Malaysia.

Katanya, beliau melihat usaha USM dalam melaksanakan Parlimen Mahasiswa sebagai salah satu tindakan untuk melahirkan mahasiswa berkualiti, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara masa hadapan.

dppusm3

Selain itu ujarnya, keterbukaan pihak USM juga dilihat sebagai mengiktiraf suara mahasiswa dalam penggubalan dasar-dasar universiti yang melibatkan pelajar dalam perkara-perkara tertentu termasuk dalam hal-hal kebajikan dan sebagainya.

``Saya menyokong sepenuhnya hasrat pihak USM untuk melaksanakan Parlimen Mahasiswa di peringkat global. Justeru, saya berharap agar DPP ini akan turut dianggotai oleh wakil-wakil pelajar antarabangsa pada masa akan datang.

``Perkara ini amat penting kerana ini merupakan satu pengikhtirafan oleh pihak USM akan keberadaan dan kehadiran mereka di sini,’’ katanya.

Dalam pada itu, DPP dianggotai oleh 68 ahli dewan yang terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pemimpin-pemimpin persatuan dan kelab yang dipilih, selain turut disertai oleh pemerhati.

DPP pada sidang akademik 2014/2015 memperlihatkan perbahasan 12 usul, antaranya yang menyentuh aspek kebajikan pelajar, cadangan mengkaji semula yuran ijazah tinggi, penambahan kursus akademik dan sebagainya. - Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1619

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024