USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERDUKACITA PEMERGIAN TAN SRI ANI AROPE

Tan Sri Ani 3

PULAU PINANG, 20 Disember 2014 - Pulangnya ke rahmatullah Tan Sri Datuk Ani Arope pada pagi ini bukan sahaja dirasai oleh keluarganya malah juga seluruh masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau meninggal dunia pada usia 82 tahun di Subang Jaya Medical Centre awal pagi ini dan dibawa untuk penghormatan terakhir di Pusat Islam (TNB) Bangsar Selangor sebelum dibawa untuk sekali lagi disolatkan di surau berhampiran kediamannya.

20141220 144113 resized 1

Ani Arope diingati sebagai Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional pada tahun 1992 - 1996 dan tokoh korporat yang disegani di negara ini.

Menurut Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, allahyarham amat komited dengan apa jua yang dilakukannya terutamanya dalam membantu orang ramai.

"Saya mengenali allahyarham sejak awal tahun lapan puluhan ketika beliau menjadi ahli Majlis USM dan kemudiannya sebagai ahli Lembaga Pengarah dan apabila Tan Sri Ani dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USM," kata Mustafa ketika ditemui di majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam Selangor.

20141220 144245 resized

Menurut Mustafa allahyarham adalah tokoh serba boleh dan berjasa besar kepada negara.

"Saya mengingati beliau sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip, komited dan berjasa besar dalam menghantar ramai anak-anak muda kita mengikuti pengajian Sains Perubatan di negara-negara selain dari Britain seperti amalan sebelum itu," kata Mustafa.

Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman turut menyatakan kesedihan dengan pemergian allahyarham.

"USM sememangnya terhutang budi kepada beliau apatah lagi USM mendapat Program Pemacuan untuk Kecemerlangan APEX dan Universiti Penyelidikan semasa allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah," kata Omar.

Tambah Omar, semua yang mengenali allahyarham akan sentiasa mengenangi beliau dengan kemesraan, jenaka, ketegasan dan luasnya ilmu pengetahuan dan pengalaman beliau dalam pelbagai bidang apatah lagi kemampuan beliau menguasai pelbagai bahasa dan pelbagai kebolehan beliau termasuk memandu kapal terbang.

20141220 151349 resized

Omar bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustafa Kamal memberikan penghormatan kepada jenazah allahyarham dan turut sama solat jenazah di Surau Seksyen 2 Shah Alam berhampiran kediaman allahyarham dan kemudiannya bersama-sama menghadiri majlis pengkebumian.

Tan Sri Datuk Ani Arope menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah USM pada tahun 1992 hingga 2010 sebelum diambil alih oleh Profesor Emeritus Dato' Dr. Zawawi M. Ismail.

Zawawi yang berada di London dalam pesanan ringkas (sms) menyifatkan pemergian beliau sebagai negara kehilangan besar tokoh berwibawa yang mempunyai integriti yang tulen.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga ahli Senat USM Profesor Dato' Seri Md. Salleh Yaapar menyifatkan pemergian Tan Sri Ani sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan perginya seorang yang berprinsip.

Seorang lagi ahli Senat USM Profesor Nazalan Najimuddin mencatatkan dalam akaun media sosial facebooknya "awal pagi ini saya mendapat berita pulangnya ke ramatullah Tan Sri Ani Arope dengan perasaan sangat sedih dan allahyarham sentiasa dikenang dengan keramahan dan jenakanya, seorang berprinsip dan anak Malaysia tulen."

Manakala Pengarah Pusat Transformasi USM Dato' Haji Ellias Haji Zakaria menyifatkan pemergian Tan Sri Ani Arope amat meninggalkan kesan.

"Susah untuk mencari insan sepertinya dan terlalu banyak yang boleh dipelajari daripada tokoh besar ini," kata Ellias dalam pesanan ringkasnya.

D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Raja Perlis yang juga Canselor turut berangkat menziarahi jenazah allahyarham di Pusat Islam (TNB) Bangsar kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Allahyarham dilahirkan pada 17 Mei 1932 di Sungai Bakap Seberang Prai Pulau Pinang. Beliau meninggalkan isteri Puan Sri Saenah Ahmad dan tiga orang anak. - Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2057

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024