USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TEROKA INISIATIF SMI

DSC 0183

KUBANG KERIAN, 22 Dis. 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan cuba memasarkan produk-produk inovasi yang menang dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) berasaskan pada model industri kecil dan sederhana (SMI) bermula pada tahun hadapan.

Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, lebih  30 inovasi yang dipertandingkan dalam KIK sejak dua tahun terdahulu dilihat amat baik untuk dipasarkan melalui anak syarikat USM, USAINS Holding.

Katanya, inisiatif yang menggalakkan keusahawanan dalam kalangan staf USM itu diambil dengan matlamat untuk mengangkat budaya kualiti dan memberi motivasi kepada pasukan-pasukan yang terlibat untuk terus membudayakan kualiti dalam perkhidmatan.

DSC 0187

"Harapan USM adalah impak dari pembudayaan kualiti akan dapat menghasilkan produk yang mudah diilhamkan yang tidak perlukan kajian fundamental, hanya dari praktis boleh dipindahkan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kualiti USM 2014 di sini semalam. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato' Mohd Razali Hussain dan Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed.

Tambah beliau, USM melalui USAINS akan mengadakan perbincangan khusus untuk merealisasikan langkah itu yang dilihat tidak memerlukan proses yang rumit, selain hanya melibatkan modal permulaan sekitar RM500,000.

"Saya yakin USM mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya kerana produk-produk yang dihasilkan boleh dipasarkan tanpa perlu adanya kilang-kilang, memadai dengan adanya makmal-makmal di USM.

DSC 0206f

"Kita hanya perlu mencari jalan terbaik untuk cuba menghasilkan produk dengan cara yang paling efektif dan konsisten serta memohon pensijilan tertentu sebelum dipasarkan kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Majlis Konvensyen Kualiti USM itu adalah kali kedua dianjurkan dengan tujuan meraikan pelbagai pencapaian dan kejayaan USM dalam aktiviti kualiti dan inovasi sama ada di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Antara kisah kejayaan utama USM pada 2014 adalah pencapaian USM yang diiktiraf dalam Persijilan Lean Healthcare Kampus Kesihatan USM, Persijilan Semula Amalan Berkualiti QE/5S Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Johan Anugerah Inovasi Negara oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negara dan sebagainya.

Dalam arena antarabangsa pula, USM melalui kumpulan yang dikenali sebagai Lateral meraih emas di Konvensyen ICQCC di Sri Lanka melalui inovasi mereka, head bun, bantal kecil yang memberi keselesaan kepada pesakit dalam operasi pembedahan.

Turut menerima anugerah ialah Timbalan Pengarah Kanan (Pengurusan), Hospital Universiti Sains Malaysia, Wan Mohd Suyuti Wan Ismail yang diiktiraf sebagai Tokoh Kualiti 2014. Teks dan Foto: Marziana Mohamed Alias 

 

  • Created on .
  • Hits: 1439

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024