USM TANGGUH PEPERIKSAAN KAMPUS KESIHATAN

2014 12 26 11.41.31325

Pulau Pinang, 26 Disember 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil keputusan menangguhkan peperiksaan di Kampus Kesihatan Kubang Kerian yang melibatkan kira-kira 1,300 orang pelajar yang sepatutnya bermula pada Ahad, 28 Disember ini.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman,  hanya dua pusat pengajian terlibat dengan peperiksaan di Kampus Kesihatan iaitu pelajar ijazah pertama Sarjana Muda Sains Kesihatan dan pelajar Pasca Siswazah Sains Perubatan dan Sains Kesihatan. 

"Manakala pelajar-pelajar lain di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan yang terlibat dengan banjir diminta mendaftar dengan Bahagian Peperiksaan Universiti atau di pusat-pusat pengajian menduduki peperiksaan  semula," kata Omar.

Peperiksaan tertangguh ini akan diadakan secepat mungkin untuk mengelakkan tekanan dihadapi oleh pelajar, seboleh mungkin sebelum semester berakhir bergantung kepada keadaan banjir.

IMG 20141226 WA0022

"Mereka yang berada di Kampus Kesihatan yang sepatutnya menghadapi peperiksaan akan mengikuti program-program akademik dan aktiviti tertentu ditetapkan oleh pusat pengajian," tambah Naib Canselor.

Beliau menasihati para pelajar di mana sahaja berada untuk menjaga keselamatan diri, pemakanan dan membuat perancangan masa yang sesuai untuk kembali ke kampus terutamanya bagi yang berada di luar kampus.

"USM memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh para pelajar serta kakitangan terutamanya para pensyarah," kata Omar lagi.

USM membuka Bilik Gerakan Banjir diketiga-tiga kampus sejak 24 Disember lalu dan bekerjasama dengan semua universiti lain untuk menguruskan kepulangan para pelajar untuk menghadapi peperiksaan dan membantu semua yang terkesan dengan banjir yang melanda beberapa buah negeri di negara ini terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

56565

"Bilik Gerakan Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM yang beroperasi 24 jam dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar USM ini telah mendapat sambutan dan mendapat banyak panggilan telefon dari pelajar dengan jumlah yang terlibat pada masa ini berjumlah tidak kurang dari 200 orang," kata Omar.

USM juga turut mengadakan kutipan untuk membantu mangsa-mangsa banjir dalam kalangan pelajar dan kakitangannya secara berterusan. 

10882811 1017645778252994 1621335069 o

Manakala di Hospital USM usaha-usaha memindahkan pesakit dari hospital-hospital yang terkesan dengan banjir yang melanda negeri Kelantan giat dilakukan sehingga hari ini.

"Terdapat ramai pelajar  di Kampus Kesihatan USM terutamanya dari Pusat Pengajian Sains Perubatan terlibat secara sukarela dalam membantu mangsa-mangsa banjir," kata Omar. Teks: Mohamad Abdullah

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015