USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR HARGAI USAHA SELURUH WARGA USM MEMBANTU MANGSA BANJIR

10888371 10205548523736841 1051364057138247056 n

Kota Baharu, 30 Disember 2014 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman menghargai seluruh warga universiti yang bekerja keras membantu mangsa-mangsa banjir walau pun tatkala diri dan keluarga sendiri berhadapan dengan pelbagai masalah.

Beliau menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha tersebut.

"Kita juga amat terhutang budi kepada semua sukarelawan perubatan dari pelbagai institusi pengajian tinggi yang datang membantu serta Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberikan dana tambahan untuk melancarkan lagi usaha ini,"kata Omar.

10394856 10205548525216878 7249479015781690636 n

Bercakap melalui telesidang setelah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dari Bilik Gerakan Banjir di Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian dengan  Bilik Gerakan Banjir di Kampus Induk Pulau Pinang pada pagi ini, Naib Canselor berkata, universiti amat menyanjungi pengorbanan semua yang terlibat yang bekerja keras, tidak tidur malam dan bergerak ke pelbagai tempat apabila banjir melanda di beberapa buah negeri terutamanya Kelantan yang menempatkan Kampus Kesihatan USM dan negeri-negeri Pantai Timur lain seperti Pahang dan Terengganu.

Naib Canselor sebelum itu telah melawat sekali lagi ke Bilik Gerakan di Hospital USM dan bermesyuarat dengan para pegawai perubatan dan petugas tentang keperluan dan penyelarasan usaha yang dibuat apabila Hospital USM menjadi satu-satunya hospital yang terselamat sepenuhnya dan menjadi tumpuan memindahkan pesakit dari hospital-hospital lain yang terlibat dengan banjir.

"Kita akan meneruskan usaha ini dan menyediakan segala kemudahan yang perlu termasuk membawa doktor perubatan, paramedik, jururawat dan petugas yang perlu dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam dan Pusat Sejahtera di kampus induk untuk membantu di sini," kata Omar.

15507 10205548524096850 4023954220110382953 n

USM telah menggerakkan Kor Sukarelawan, para pelajar dan juga dari dalam kalangan kakitangan untuk membantu sejak minggu lalu bukan sahaja dengan mermbuka Bilik Gerakan 24 jam di Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM tetapi juga membantu menyelaraskan untuk membawa para pelajar USM dan universiti-universiti lain yang terkandas untuk balik ke kampus masing-masing dari Kelantan dan juga para pelajar dari Kelantan yang ingin ke destinasi-destinasi lain sejak minggu lalu.  

Pegawai-pegawai dan para sukarelawan turut membantu memberikan nasihat dan perundingan kepada mereka yang dibawa pulang ke kampus yang tertekan perasaan dan terpaksa menangguhkan menduduki kertas peperiksaan tertentu.

Omar juga menzahirkan rasa bangga dengan keikhlasan dan pengorbanan semua kakitangan dan pelajar yang saling bantu-membantu dalam keadaan sebegini, malah terdapat juga kakitangan yang terpaksa tidur di pejabat dan dewan-dewan yang disediakan di Kampus Kesihatan apabila rumah mereka sendiri dinaiki air.

10369713 10205548524816868 221447231838041373 n

"Kita juga amat terhutang budi kepada Pengarah Kampus Kesihatan yang menyelaraskan semua usaha di Kampus Kesihatan Kelantan, Pengarah Hospital USM, Dekan-dekan serta  semua doktor dan petugas perubatan, paramedik dan mereka yang bekerja keras siang dan malam, bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi juga mencari pelbagai cara dan usaha melalui jaringan yang ada untuk memberikan kemudahan yang terbaik kepada mereka yang perlukan bantuan di samping bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh pelbagai agensi dan kementerian terutamanya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia," tambah Naib Canselor.

USM juga akan terus menghantar para sukarelawan dari dalam kalangan kakitangannya terutamanya dari kampus induk untuk membantu tugas-tugas menyediakan makanan, memasak dan tugas-tugas lain memandangkan pelajar-pelajar sedang menghadapi peperiksaan sekarang ini manakala pelajar di Kampus Kesihatan dijangka memulakannya dalam sedikit masa lagi setelah ditangguhkan pada Isnin lepas.

"Kita juga sedang memikirkan dan membuat pertimbangan untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada semua yang terjejas dengan banjir ini dengan bilangan rasmi kakitangan dan pelajar masing-masing berjumlah kira-kira 200 orang," kata Naib Canselor lagi.

10402973 10205548524536861 7663734399985655389 n

Hadir sama dalam perbincangan tersebut ialah Ahli Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, Pengarah Kampus Kesihatan Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Profesor Dr. Ahmad Zakaria serta pegawai-pegawai kanan dari Kampus Kesihatan manakala di Pulau Pinang, yang hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid, Pengarah Pembangunan Pelajar  Dr. Nazaruddin Zainon, Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Bendahari Mohammad Abdullah, Pengarah Jabatan Pembangunan Sr Haji Aziz Che Jusoh dan beberapa pegawai kanan lain.

Mesyuarat-mesyuarat penyelarasan ini diadakan hampir setiap hari melalui telesidang di antara Bilik Operasi dan Gerakan di kampus induk dengan Kampus Kesihatan yang melibatkan juga pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) malah juga dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP).  Teks: Mohamad bin Abdullah​

  • Created on .
  • Hits: 1864

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024