USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

2015: MEMACU KECEMERLANGAN

 DSC5645

2015: MEMACU KECEMERLANGAN


Assalamualaikum wm wbr

Salam Sejahtera, Salam 1USM, Salam 1Malaysia


Selamat tahun baharu 2015. Kita telah pun melalui tahun 2014 dengan penuh cabaran. Kita dan seluruh rakyat Malaysia masih berkabung dan merasai kesedihan dengan tragedi MH370 dan MH17 yang kita turut rasai kehilangan seorang calon pensyarah yang hampir selesai pengajiannya.

USM juga tidak kurang berhadapan dengan pelbagai cabarannya. Namun yang lebih kita ingati tentu sahaja pelbagai kejayaan yang kita capai sama ada dalam penyelidikan dan inovasi, kreativiti dan kualiti, melahirkan penyelidik dan personaliti yang hebat "eminence" dan "prominence" serta pelbagai kejayaan lain yang boleh kita banggakan. Malah saya bersyukur kerana keupayaan kita untuk terus memantapkan pengurusan dan pentadbiran berteraskan tadbir urus yang baik atau good governance dalam memastikan kita melaksanakan pengurusan dan memperkasakan pengurusan yang berintegriti dan berakauntabiliti tinggi.

Justru, 2015 adalah tahun untuk kita memacu kecemerlangan dengan 9 teras yang telah kita tetapkan bersama. Tahun untuk kita menjayakan makna sebenar APEX dengan menggembleng kekuatan pemikiran bersama-sama untuk melakukan perubahan, bersama-sama bekerja dalam ekosfera yang ada menggunakan hati nurani dan kalbu untuk mentransformasi pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok.

Kita perlu zahirkan maksud APEX melalui pelbagai mekanisme penyelidikan, inovasi, rekacipta dan kreativiti, kelestarian dana dan kewangan, tadbir urus yang baik, pembangunan insan, pengupayaan dan pemerkasaan setiap sumber dan pembangunan bakat yang berterusan.

APEX bermakna kita memanfaatkan setiap sumber dan menggunakan segenap upaya dalam mencapai matlamat, misi dan visi bersama bertunjangkan motto Kami Memimpin. APEX bermakna kita memberikan sepenuh komitmen dalam melonjakkan nama USM dalam semangat kesatuan 1USM, secara sukarela pula membantu mereka yang memerlukan, mereka yang terpinggir dan melibatsama komuniti untuk kesejahteraan dan kelangsungan masa hadapan.

Kita akan perkukuhkan segala inisiatif yang telah dibuat selama ini dan memulakan program-program baharu termasuk program untuk pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi, keusahawanan dan kesukarelawanan, APEX Scholar, program pelajar berminda global dan pelbagai lagi. Begitu juga pengukuhan dalam pelbagai program yang berteraskan kelestarian, pelbagai jaringan utama dunia, libatsama komuniti malah program-program pemindahan ilmu, kearifan tempatan, penyelidikan dan pengkomersilan dan pelbagai lagi berteraskan merakyatkan ilmu demi untuk masyarakat, negara dan dunia.

Selamat menyambut tahun baharu 2015 dengan doa ke hadrat Allah s.w.t. untuk terus berjaya. Marilah kita bersama-sama berusaha memacu kecemerlangan universiti kita.

Sekian wassalamualaikum wm wbr.

https://www.youtube.com/user/usmcast

 

  • Created on .
  • Hits: 3323

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024