USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CADANG TUBUHKAN PUSAT PENGAJIAN WANITA

DSC 0193

PULAU PINANG, 21 Januari 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk menubuhkan kolej atau pusat pengajian wanita yang berasaskan kepada matlamat memperkasa kekuatan kaum wanita.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, usaha itu selaras dengan hasrat untuk membina kekuatan wanita khususnya dalam aspek keusahawanan dan membolehkan kumpulan itu menjana ekonomi mereka sendiri.

Katanya, perancangan itu juga seiring dengan pengenalan dua pusat pengajian baharu iaitu Pusat Pengajian Sains Warisan dan Pusat Pengajian Sains Gaya Hidup yang dijangka boleh meningkatkan nilai tambah dan kebolehpasaran graduan.

``USM boleh manjalankan program tersebut dalam pelbagai cara termasuk program akademik atau ijazah yang khusus atau program yang memberikan nilai tambah kepada wanita-wanita yang bergraduan tetapi mereka ini mempunyai skil yang lain.

``Ini juga pada masa depan membolehkan USM meneroka peluang mewujudkan biasiswa wanita yang berperanan untuk melihat kepada perspektif pembangunan wanita dan kemahiran, sekaligus membolehkan institusi ini berkolaborasi dengan pelbagai pihak lain,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor 2015, Bersama Untuk Kecemerlangan Universiti: Memacu Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara.

``USM juga mempunyai kekuatan dari pusat-pusat sedia ada seperti Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA) dan rakan-rakan strategik dari luar yang berfokus kepada usaha memperkasakan wanita.

``Selain itu, kita juga melihat bagaimana untuk memberi nilai tambah kepada graduan-graduan bagi mengupayakan wanita memberi sumbangan dalam aspek sosioekonomi kepada masyarakat sekaligus menjadi pemangkin pembangunan negara,’’ ujarnya lagi.

Dalam pada itu, antara kerangka program itu adalah menjurus kepada modul pengajian bidang kemahiran dan akademik berteraskan pengajian gender. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1539

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024