USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HARGAI SUKARELAWAN

DSC 0160

PULAU PINANG, 21 Januari 2015- Universiti Sains Malaysia (USM) menghargai semua mereka yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir dan melaksanakan program-program termasuk mencuci sekolah melalui operasi pasca banjir.

Menurut Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, bencana banjir telah menunjukkan bahawa universiti kita mampu bersatu tenaga dan memberikan kepakaran masing-masing dalam membantu masyarakat seperti mana yang terbukti dalam operasi Pasca Banjir dengan Kampus Kesihatan USM menjadi “War Room” Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Saya berbangga dengan warga USM yang menjadi sukarelawan dengan lebih 4,000 orang terlibat secara langsung apatah lagi bagi mereka yang bertugas di Hospital USM yang menjadi satu-satunya hospital yang beroperasi sepenuhnya walau pun lebih 40% warganya sendiri terlibat dengan banjir,” kata Omar ketika menyampaikan Perutusan Naib Canselor Bersama-sama untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU) 2015 yang bertemakan Memacu Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara.

Pada majlis tersebut Naib Canselor USM itu menyampaikan sumbangan kepada 11 orang kakitangan USM Pulau Pinang yang menjadi mangsa angin kencang di Balik Pulau dan sijil penghargaan khas kepada sukarelawan USM yang terlibat dengan operasi banjir di Pantai Timur.

Sumbangan kepada mangsa bencana alam USM adalah melalui Tabung Kemanusiaan USM. Baru-baru ini Usains Holdings Sdn. Bhd, Pusat Inovasi dan Produktiviti Perkhidmatan Awam (PiPPA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut menyumbang kepada tabung tersebut. Bantuan yang sama akan diberikan kepada kakitangan USM di Kampus Kesihatan yang terlibat dengan banjir yang keseluruhannya kini berjumlah lebih 500 orang.

Kakitangan yang mencarum kepada Tabung Kebajikan USM pula akan menerima sumbangan dari tabung tersebut secara berasingan.

Perutusan Naib Canselor akan turut diadakan di USM Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal pada hari Jumaat, 23 Januari 2015 dan di USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan pada hari Ahad 25 Januari 2015 ini.

Kira-kira 2,000 orang kakitangan hadir pada majlis Perutusan Naib Canselor USM Kampus Induk Pulau Pinang.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhammad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. Susie See Ching Mey, Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr Zainal Ariffin Mohd Ishak, Pendaftar Siti Zubaidah A. Hamid, Bendahari Dr Rohayati Mohd. Isa dan Ketua Pustakawan Mohd Pisol Ghadzali. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1686

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024