USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“SAYA LEBIH MENGHARGAI ERTI PERPADUAN” – LIM KOK KHENG

DSC 0370

GURUN, 26 JANUARI 2015 – “Saya lebih menghargai apa ertinya perpaduan dan toleransi selain mengajar saya untuk mendisiplinkan diri dalam apa juga cabaran yang dilalui”

Demikian kata Lim Kok Kheng, pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pengkhususan  Ekonomi. 

Menurut Lim yang merupakan segelintir kecil kadet senior Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bukan Melayu, dia  langsung tidak rasa terasing dan lebih merasai nikmat sekeluarga dengan ahli kadet lain.

DSC 0140

DSC 0204

“Saya gembira bersama-sama kadet lain, gelak tawa, suka duka dalam melalui cabaran dan latihan keras, kami harungi bersama tanpa mengira perbezaan kaum dan agama,” katanya.

Ujar Lim, tiada sebab untuk kita wujudkan jurang atas sebab perbezaan kaum kerana kita semua dilahirkan di tanah air tercinta ini.

“Saya tidak pernah dipinggirkan, malah kerap kali diberi peluang oleh jurulatih untuk lebih ke hadapan dalam alam ketenteraan ini”

DSC 0232

Lim anak jati Padang Serai, Kedah berkata sepanjang penglibatan beliau di dalam PALAPES, beliau banyak belajar untuk sentiasa berdisiplin, tegas dan berani mencabar diri.

“Saya tidak suka berada di zon selesa untuk masa yang lama atas sebab itu saya sentiasa mencari peluang baru yang jarang diterokai untuk pembangunan diri”

“Dari kecil keluarga saya amat mementingkan disiplin terutamanya hidup berperaturan, atas didikan itulah saya berani menyertai PALAPES kerana ia mengajar saya untuk menepati setiap peraturan yang ditetapkan” 

Tambah Lim, sejak dari bangku sekolah lagi beliau terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum selain tidak mengabaikan kecemerlangan akademik.

DSC 0133

“Saya pernah dilantik sebagai Ketua Pengawas di sekolah, dan kepercayaan yang diberikan oleh guru atas tanggungjawab tersebut saya teruskan hingga ke universiti untuk menyertai kokurikulum bercorak kepimpinan”

Ditanya mengenai bagaimana beliau menguruskan tekanan dalam menghadapi latihan yang disediakan PALAPES, dengan penuh senyuman Lim berkata, 

“Sentiasa berfikiran positif, jangan terlintas sedetik pun untuk berkata tidak boleh dan bijak menilai sebelum membuat keputusan tanpa menggunakan emosi”

DSC 0219

Lim turut menyuarakan hasrat agar lebih ramai bukan Melayu menyertai PALAPES kerana ia banyak memberi kesan positif diri terutamanya menghargai perpaduan.

“Apa yang penting, tanamkan minat untuk merubah diri kerana melalui latihan-latihan mencabarlah yang membuatkan kita akan lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan akan datang”

DSC 0300lk

Lim ditemui pada Pertandingan Menembak Jatuh Piring 2015 sempena program latihan berterusan pada cuti semester untuk semua ahli Kadet di Kem Hobart, Gurun, Kedah yang turut dihadiri oleh Naib Canselor Profesor dato' Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1949

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024