USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LAHIRKAN GRADUAN FARMASI YANG HOLISTIK, SERU TNC

300115 1

PULAU PINANG, 30 Januari 2015 - Universiti perlu memainkan peranan yang lebih aktif untuk menghasilkan lebih banyak graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum seperti sukan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Universiti Sains Malaysia berkata, langkah ini penting dalam meneraju usaha melahirkan graduan holistik yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi agar lebih berdaya saing dalam menghadapi persaingan global dalam bidang yang diceburi.

300115 2

“Misalnya dalam penglibatan sukan kompetitif seperti ini, mahasiswa farmasi akan berpeluang meningkatkan keyakinan diri dan membina semangat kerja berpasukan, yakni dua kemahiran insaniah yang amat diperlukan dalam kerjaya ahli farmasi,” kata Adnan ketika berucap di majlis perasmian Karnival Sukan Farmasi Kebangsaan 2015 (NPSC 2015) kali ke-8 yang berlangsung dengan meriah sekali di Stadium Olahraga USM di sini semalam.

Tambah Adnan, beliau juga amat berbangga kerana USM diberi penghormatan sekali lagi untuk menjadi tuan rumah karnival sukan kebangsaan sebesar ini, setelah USM menjadi hos kepada NPSC kali ke-4 pada tahun 2011.  

“Saya percaya karnival sukan ini bukan sahaja dapat menjadi medan untuk mahasiswa-mahasiswa jurusan farmasi daripada universiti-universiti berlainan untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang sukan tetapi juga sebagai platform untuk mereka memupuk hubungan yang lebih erat melalui aktiviti kesukanan,” kata Adnan lagi.

300115 3

NPSC 2015 bertemakan “Prescribe the Challenge, Dispense the Victory” dianjurkan bersama oleh Persatuan Sains Farmasi USM di bawah Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) USM dan Persatuan Mahasiswa Farmasi Malaysia (MyPSA) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

Ia berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 mahasiswa farmasi dari 12 universiti awam dan swasta tempatan termasuk UM, UKM, UIAM, UniKL, Taylor’s University, SEGi University dan AIMST University.

Pada majlis yang sama, Dekan PPSF USM, Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar berkata, PPSF amat mementingkan mahasiswa farmasi yang bukan sahaja cenderung untuk berjaya di dalam pelajaran mereka, tetapi juga dalam aktiviti sukan serta amalan gaya hidup sihat dan sejahtera.

300115 4

“Kita juga inginkan mereka yang bakal menjadi ahli farmasi dan pengamal perubatan untuk bukan sahaja berjaya dalam profesion mereka kelak, tetapi juga mempromosi pencegahan penyakit dan mengamalkan gaya hidup aktif serta terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya lagi.

Sementara itu, Penasihat MyPSA Datin Mariani Ahmad Nizaruddin, dalam ucapannya berkata, beliau bersyukur dan bangga kerana karnival sukan NPSC telah memasuki tahun ke-8 penganjurannya, dan saban tahun ia menjadi semakin meriah dengan bilangan penyertaan yang semakin meningkat.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya universiti yang pernah menjadi tuan rumah yang memberikan sokongan kepada MyPSA dalam menjayakan penganjuran karnival ini setiap tahun,” kata Mariani.

300115 5

Karnival yang berlangsung selama 4 hari itu dari 29 Januari hingga 1 Februari 2015 mempertandingkan 10 sukan moden antaranya bola sepak, skuasy, tenis, badminton, sepak takraw dan lain-lain, 4 acara balapan dan juga 4 jenis acara permainan tradisional.

Turu hadir ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan) PPSF USM merangkap penasihat MyPSA Professor Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali, Presiden MyPSA Mohamad Haziq Abu Othman, Pengarah Projek NPSC 2015 Zulhilmi Farhan Zulkefli dan para penaja. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2257

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024