USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JABATAN FARMASI HUSM DIDIK PESAKIT PULANGKAN SEMULA UBAT

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Jun 2015 - Jabatan Farmasi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengadakan kempen pemulangan ubat yang tidak digunakan atau berlebihan untuk dilupuskan dengan cara selamat. 

Melalui kempen ini, semua ubat-ubat yang dikembalikan dikumpul dan dibuat penilaian kualiti. Ubat-ubatan injeksi, sirup ekstemporanous, sediaan rangkaian sejuk serta ubat-ubatan yang rosak atau hampir luput tempoh hayat akan dilupuskan mengikut kaedah yang betul dan diuruskan melalui Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM). 

Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Farmasi HUSM, Norita Abdul Hamid, program ini bertujuan untuk menggalakkan pesakit memulangkan ubat-ubatan yang tidak digunakan selain memupuk sikap prihatin dalam pengunaan ubat secara berhemah dan memberi kesedaran bahawa ubat yang tidak digunakan boleh diagihkan bagi perawatan pesakit lain. 

“Faktor yang menyumbang kepada ubat berlebihan dalam simpanan pesakit ialah pengurusan ubat-ubatan yang tidak teratur di rumah, terutamanya yang melibatkan perawatan pengubatan yang kompleks kerana pesakit kategori ini terpaksa mengambil pelbagai jenis ubat pada dos dan kekerapan yang berbeza bagi merawat bermacam-macam jenis penyakit kronik yang dihidapi,” jelas Norita. 

Tambahnya, kegagalan pesakit mengambil ubat mengikut jadual kehadiran ke klinik pada tarikh temujanji sebenar dan mendapatkan bekalan ubat dari sumber-sumber lain menyebabkan berlakunya lambakan stok ubat di rumah mereka.

“Pegawai Farmasi HUSM telah mengadakan siri lawatan ke rumah pesakit dan menemubual mereka dan mendapati masalah ini cukup serius apabila  kebanyakan pesakit keliru dengan simpanan ubat-ubatan yang terlalu banyak yang memungkinkan mereka mengambil ubat secara berlebihan dan menggunakan ubat yang telah melepasi tarikh luput serta mendapat kesan interaksi sesama ubat-ubatan yang boleh memudaratkan kesihatan,” jelasnya lagi. 

Norita berkata, kempen yang dijalankan sejak tahun 2009 ini pada peringkat awalnya melibatkan kesedaran dengan pendidikan kesihatan melalui edaran risalah, poster dan penerangan secara lisan oleh kakitangan pendispensan ubat sehingga mendapat sambutan dan maklumbalas yang menggalakkan daripada pelanggan yang kemudiannya diperhebatkan lagi melalui pameran, taklimat serta  hebahan media sehingga pesakit memulangkan ubat-ubat yang bernilai hampir RM2.5 juta dalam tempoh enam tahun pelaksanaan kempen ini. 

“Namun, jumlah nilai pemulangan ubat pada tahun 2014 berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana Jabatan Farmasi HUSM melakukan beberapa penambahbaikan terhadap sistem preskripsi atas talian bagi mengelakkan pertindihan bekalan ubat terutama bagi pesakit yang datang ke klinik tidak mengikut tarikh temujanji,” jelas Norita lagi. Teks: Wan Azahar Wan Ahmad / Foto:Wan Ahmad Nizamuddin Wan Mohd Sukri

  • Created on .
  • Hits: 1572

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024