USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NCIA IKTIRAF KEPAKARAN USM BANGUNKAN PROGRAM PEMBANGUNAN KORIDOR UTARA

 DSC8557gvj

PUTRAJAYA, 24 Jun 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah rentas pemindahan ilmu dan penyelidikan apabila diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk bersama membangunkan program pembangunan di negeri-negeri sekitar utara Semenanjung Malaysia.

Keempat-empat negeri di bawah Koridor Utara iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak menjadi fokus utama USM dan NCIA dalam memperkasa program pembangunan termasuk melonjak bakat bidang keusahawanan dan inovasi.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM amat berbesar hati atas kepercayaan diberi oleh NCIA untuk menjadi penghubung dalam beberapa program yang ditetapkan bagi pembangunan kawasan utara.

 DSC8562dy

"Antara perkara utama adalah pembinaan kapasiti dan memperbaiki serta melatih bakat-bakat dalam bidang keusahawanan dan inovasi terutamanya peringkat sarjana dan kedoktoran," kata Omar.Jelas Omar USM juga akan membantu NCIA menjana ekonomi komuniti melalui "Community Innovation Centre" yang akan digerak bersama NCIA di empat negeri tersebut dengan 11 projek yang dikenalpasti.

Naib Canselor berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pembangunan di Koridor Utara di antara USM dan NCIA yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato' Sri Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin.Tambah Omar lagi, para penyelidik USM juga akan mencari pendekatan terbaik bersama NCIA bagi melebarkan penglibatan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang elektrik dan elektronik.

"Saya mengharapkan kerjasama penyelidikan termasuklah kolaborasi industri dan penjanaan ekonomi komuniti ini akan terus memberi kesan positif bukan sahaja kepada USM dan NCIA, malah juga untuk kesejahteraan komuniti yang disasarkan secara keseluruhannya.

 DSC8626

 DSC8588

Pada majlis yang sama, Ketua Eksekutif NCIA, Dato' Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pihaknya sedia maklum kekuatan pembangunan dan penyelidikan yang dimiliki oleh USM ditambah dengan strategi komersial yang ampuh oleh NCIA mampu melonjakkan pembangunan ekonomi komuniti di dalam masa terdekat ini.

"Kita akan mengenalpasti elemen-elemen teknologi dan inovasi USM yang berkaitan untuk diserap kepada komuniti bagi tujuan pembangunan taraf hidup ekonomi yang menyeluruh kepada golongan ini," kata Redza Rafiq. - Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1331

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024