USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMBALI HAYATI AL-QURAN UNTUK LAKUKAN PERUBAHAN

10986568 10206951798737839 6513146074052841668 n

PULAU PINANG, 24 Jun 2015 - Al-Quran sebagai kitab suci yang menjadi pedoman dan petunjuk kepada umat manusia diturunkan pada bulan Ramadhan dengan manfaat yang sangat besar kepada umat manusia serta seluruh alam apatah lagi dengan sifat Al-Quran yang sentiasa hidup sesuai dalam semua zaman dan mampu pula menterjemah setiap zaman.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Haji Md Yusof Abdul Rahim berkata, Al-Quran adalah rahmat yang amat besar yang diturunkan Allah s.w.t yang sudah tentu mereka yang menjiwainya akan menjadi berbeza dari orang lain dan sumber yang mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik dari sebelumnya seperti yang ditunjukkan oleh generasi sahabat Rasulullah s.a.w yang sangat istimewa.

"Keistimewaan mereka adalah bersama-sama baginda Rasulullah s.a.w dan menjiwai Al-Quran seperti yang digambarkan oleh para pengkaji bahawa mereka adalah generasi Al-Quran yang unggul yang menggerakkan perubahan dengan pantas," kata Md. Yusof dalam tazkirahnya di Masjid Al-Malik Khalid hari ini.

Generasi sahabat Rasulullah s.a.w menjadikan Al-Quran sebagai sumber untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan setiap ketetapan Allah s.a.w dengan pantas tanpa soal-jawab.

"Generasi ini menjadikan Al-Quran seratus peratus sebagai sumber rujukan mereka seperti mana yang dilakukan oleh tokoh-tokoh hebat yang melakukan perubahan dengan berpegang teguh kepada kitab suci tersebut seperti mana Salehuddin Al-Ayubi yang sangat hebat berpegang dengan Al-Quran termasuk seluruh bala tenteranya yang turut berbuat demikian," jelas Md. Yusof.

Md. Yusoff berkata, untuk menggerakkan masyarakat kepada perubahan, umat Islam perlu kembali kepada Al-Quran, menghayati dan mengamalkan seluruh nilai-nilai yang ada secara menyeluruh dan rujukan yang tepat.

"Soalnya bagaimana untuk melaksanakan usaha ini apatah lagi dengan banyak ditubuhkan Maahad Tahfiz sekarang ini di negara kita dan bagaimana pula untuk menjadikan Maahad Tahfiz mampu mengeluarkan mereka yang dapat mengamalkan Al-Quran, bukan hanya menghafal tetapi menjiwainya dan mempelopori pelaksanaan nilai-nilai yang terdapat dalam Al-Quran untuk menjadi manusia terunggul," kata Md. Yusoff.

Tegasnya, untuk itu adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk mendidik anak-anak mereka dengan melaksanakan tiga perkara iaitu mendidik anak-anak mencintai dan kasihkan Rasulullah s.a.w, mendidik anak-anak untuk mengenal para sahabat Rasulullah s.a.w dan yang ketiga ialah dengan membaca dan memahami Al-Quran. - Teks: MOHAMAD BIN ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 1134

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024