USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT ISLAM USM SEDIA KEMUDAHAN TRANSIT IBU-IBU MENGERJAKAN SOLAT SUNAT TARAWIH

ustaz

PULAU PINANG, 23 Jun 2015 - Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan kemudahan kepada ibu-ibu yang membawa anak kecil semasa Solat Tarawih.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Ustaz Md Yusof Abdul Rahim, perkhidmatan yang dikenali sebagai Hadhanah Transit Ramadhan merupakan pusat asuhan transit semasa Solat Tarawih yang dikelola oleh tiga orang pengasuh setiap malam, bermula 8.30 malam hingga 10.30 malam, dengan had umur anak kecil ini ditetapkan di antara tiga tahun hingga lima tahun setengah untuk membantu mereka yang ingin bersolat Tarawih meninggalkan anak-anak mereka dengan selamat di sini.  

Ini adalah sebahagian daripada usaha USM untuk menyediakan kemudahan dalam usaha mengimarahkan masjid sebagai wadah ilmu untuk disertai masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti yang dilakukan secara berterusan.

Antara akiviti lain termasuklah  siri kuliah subuh, kuliah tafsir Al-Quran, tazkirah Zohor, Tadarus Al-Quran, edaran bubur lambuk, iftar jam’ie, solat tarawih, qiyamullail, International Postgraduate Quran Competition dan program beramah mesra bersama gelandangan.

Menurut Md Yusof lagi, pada tahun ini terdapat pembaharuan yang dilaksanakan oleh Pusat Islam termasuklah  mewujudkan “One Stop Centre” di samping  “Hadhanah Transit Ramadhan” tersebut.

untitledfhgh

“One Stop Centre” merupakan pusat sehenti untuk mereka yang ingin menderma bahan-bahan mentah dan sebagainya untuk kegunaan memasak bagi menyediakan juadah berbuka puasa dalam kalangan orang ramai di Masjid Al-Malik Khalid.

“Kami menyediakan khemah-khemah yang tertutup tanpa ada penyelia yang bertugas untuk memberi kemudahan kepada sesiapa yang ingin memberi sumbangan untuk majlis berbuka puasa anjuran Pusat Islam dengan hanya meletakkan barang-barang di khemah yang disediakan dan pada jam 10 malam setiap hari, pihak Pusat Islam akan mengumpulkan semua bahan mentah yang didermakan tanpa  menetapkan kuantiti yang boleh disumbangkan seikhlas hati," tambahnya lagi.

Seperti amalan pada tahun-tahun sebelumnya, Masjid Al-Malik Khalid USM menjemput imam yang dibawa khas dari Arab Saudi untuk mengimamkan Solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan namun turut  diselang-seli bersama imam-imam yang lain mengikut hari-hari yang ditetapkan.

“Pusat Islam bertindak sebagai Pusat Transit kepada imam jemputan tersebut dengan menyediakan kemudahan penginapan untuk imam tersebut, manakala kos yang selebihnya ditanggung oleh Kerajaan Arab Saudi yang membolehkannya juga pergi ke masjid-masjid lain untuk mengimamkan solat tarawih," jelasnya lagi.

Tambah Md Yusof lagi, sambutan terhadap program iftar atau berbuka puasa di sini pada tahun ini menggalakkan dengan penyediaan juadah kepada  hampir 1,500 orang setiap hari.

untitled78

“Atas saranan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, pada tahun ini Pusat Islam menampilkan kelainan dengan membuka ruangan untuk iftar di bahagian hadapan masjid dengan suasana berbuka yang lebih selesa,” tambahnya lagi.

Di samping itu juga, Ramadhan kali ini turut memperkukuhkan perpaduan dan jalinan sesama saudara Islam apabila para pelajar antarabangsa USM turut serta menyediakan juadah berbuka dengan makanan Arab untuk diagih-agihkan kepada orang lain.

Sementara itu, pada 10 malam terakhir Pusat Islam turut mengadakan qiyamullail bermula tengah malam dan diikuti dengan program bersahur.

“Istimewanya program bersahur ini ialah juadah akan disediakan oleh para sukarelawan dan jemaah," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan sistem ‘My Suffah” Md Yusof berkata “My Suffah” merupakan satu sistem yang dibangunkan untuk membantu para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan dengan kadar segera.

'My Suffah' yang dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal baru-baru ini merupakan satu sistem yang dibangunkan oleh Pusat Islam tanpa perlu pelajar yang terlibat membayar balik, dan sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang dialami contohnya kehilangan dompet dan sebagainya.

Md Yusof turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada para sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar yang banyak membantu melicinkan perjalanan program sepanjang bulan Ramadhan ini dan berharap agar tradisi ini diteruskan lagi pada masa-masa akan datang, selain turut menyeru agar meneruskan didikan Ramadhan yang telah dijalani dengan mengeratkan jalinan ukhuwah.

“Belanja untuk aktiviti sepanjang bulan Ramadhan ialah sebanyak RM 5,000 sehari melalui  bantuan dan sumbangan dari semua pihak banyak membantu Pusat Islam, ujarnya dalam pertemuan khas yang diadakan di Pusat Islam.

Teks: Siti Naquiah Abdillah & Syuhada Abd. Aziz/Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin​

  • Created on .
  • Hits: 1656

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024