USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAYA BANGGA DENGAN KUALITI PELAJAR PERINTIS – CANSELOR KLE

QK4C2893

BELGAUM, INDIA, 23 Jun 2015 – Program Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) – Karnataka Lingayat Education (KLE) diharapkan menjadi kebanggaan India dan Malaysia dalam menyediakan satu lagi pilihan untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Perubatan.

Canselor Universiti KLE, Dr. Prabhakar Kore berkata Program Perubatan USM-KLE bakal melahirkan lebih 40 orang siswazah kumpulan pertama dan akan menerima ijazah masing-masing pada Upacara Konvokesyen USM November ini. 

“Saya sangat gembira dan bangga dengan Program Perubatan USM-KLE kerana berjaya menghasilkan para pelajar perintis yang berkualiti,” katanya dalam satu pertemuan di kampus universiti tersebut sebelum menghadiri Mesyuarat Lembaga Peperiksaan akhir Program Perubatan USM-KLE di sini.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada Pengarah Program Perubatan USM-KLE, Dr. H.B. Rajasekhar dan juga Timbalan Dekan USM-KLE Profesor Dr. Kamarudin Jaalam kerana telah bekerja keras memastikan perjalanan program pesisir ini sehingga membuahkan hasil.

QK4C2939

Prabhakar adalah Ahli Parlimen (Rajya Sabha) dan Pengerusi Persatuan KLE (KLES) yang mempunyai 440 institusi pendidikan dan juga 30 lagi institusi lain di seluruh dunia.

Ditanya mengenai perancangan pada masa hadapan, beliau yang juga mempunyai sebuah hospital, Prabhakar Kore Charitable Hospital berkata, KLES tiada masalah untuk meneruskan baki lima tahun lagi perjanjian dengan USM dan akan disambung dari semasa ke semasa yang diharapkan tiada penghujungnya.

“Tahun atau tempoh tertentu bukanlah ukurannya kerana yang penting adalah penghasilan graduan yang berkualiti dari segi akademik, sahsiah dan juga nilai sebagai seorang doktor yang berdedikasi,” tambah beliau.

Jelasnya, program pesisir bagi pengajian Sains Perubatan ini adalah permulaan yang boleh diteruskan melalui pelbagai program lain pada masa hadapan kemungkinannya pengajian Sains Pergigian, Kejururawatan, Fisioterapi dan banyak lagi program yang memerlukan tenaga kerja yang lebih ramai dan bukan sahaja dengan Malaysia malah dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

QK4C2530

Hal ini turut diakui oleh Rajasekhar yang menyokong pandangan bahawa  program yang mula dijalankan pada tahun 2010 ini telah menampakkan hasil dengan  kesemua pelajar perintis berjaya dalam setiap peperiksaan dengan cemerlang.   

“Walaupun kertas-kertas peperiksaan disediakan oleh para pensyarah di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) namun dengan latihan yang diberikan kepada setiap tenaga pengajar di KLE, ilmu yang sama dengan pengalaman yang berbeza memberikan kelebihan kepada para pelajar di sini untuk menjadi graduan yang cemerlang,” ujar Rajasekhar. – Teks: Nor Rafizah Haji Md Zain / Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin @ Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1141

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024