USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAJIAN AYAM PROBIOTIK USM PAPAR KEJAYAAN PEMINDAHAN ILMU

IMG 0342j

PULAU PINANG, 19 Jun 2015 - Kajian ayam probiotik, iaitu penyelidikan yang membolehkan ayam membesar menggunakan bahan makanan yang ditambah probiotik adalah antara kisah kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memindahkan ilmu kepada komuniti.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, kejayaan projek penyelidikan yang dilakukan di Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) itu melibatkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak iaitu ahli akademik, pengusaha ladang penternakan dan industri.

“Inilah juga untuk pertama kalinya usaha penyelidikan seperti ini dibuat di ladang ternakan ayam dan melibatkan pelajar ijazah pertama seramai lebih 30 orang,” kata Omar.

Tambahnya lagi, kolaborasi akademia-industri-komuniti ini merupakan model kerjasama yang boleh dijadikan contoh dalam memacu kecemerlangan selari dengan agenda kelestarian universiti.

IMG 0403

“Sebilangan besar masyarakat sedia maklum mengenai ayam di pasaran yang kebanyakannya menerima antibiotik sama ada melalui suntikan mahupun makanannya untuk tujuan tumbesaran dan ketahanan melawan penyakit yang turut membawa bersama kesan langsung terhadap kesihatan dan kecerdasan ayam yang tentunya akan memberi kesan kepada pengguna yang memerlukan  para penyelidik mencari alternatif lain terhadap bahan itu untuk membantu penternak membuat pilihan yang baik untuk ternakan,'' kata Omar.

Bercakap  mempengerusikan sidang media khas projek USM-Industri-Komuniti: Kerjasama Ke Arah Hasil Berimpak Demi Kebaikan Masyarakat, di sini hari ini, Naib Canselor USM menjelaskan yang pihak universiti sentiasa memberi peluang kepada para pelajar untuk menerokai inovasi baharu dan projek ini juga jelas menunjukkan bahawa USM amat komited dalam membantu pihak industri dan komuniti setempat.

“Kerjasama yang berterusan dengan rakan kongsi industri dan masyarakat  dalam bersama-sama melaksanakan pelbagai projek berasaskan komuniti merupakan antara perkara yang sentiasa dititikberatkan oleh USM,” ujarnya lagi.

IMG 0373

Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Liong Min-Tze berkata, kajian tersebut dijalankan untuk tempoh 42 hari dengan mengambil 60 ekor ayam sebagai sampel di ladang Teroka Jaya, Balik Pulau, di sini.

“Dari analisis yang diperoleh, terbukti ayam yang dibesarkan dengan probiotik mempunyai pelbagai kelebihan termasuk lebih aktif dan sihat serta daging yang segar dan selamat dimakan,'' katanya.

Tambah beliau, penggunaan probiotik juga mampu mengurangkan kadar kematian sehingga 3 kali ganda berbanding penggunaan antibiotik, sekaligus dapat membantu penternak meningkatkan pengeluaran ternakan,'' katanya.

IMG 0318

Min-Tze yang pernah menjadi Penerima Anugerah L'Oreal Malaysia Fellowship untuk Wanita dalam Sains tahun 2007 itu juga berkata, penggunaan probiotik turut dapat menentang bakteria tidak baik dalam usus dan mengekalkan kesihatan usus ayam daging.

“Penemuan ini sangat memberi manfaat kepada komuniti dalam usaha semua pihak mengamalkan amalan pemakanan sihat, selain mendidik masyarakat supaya memilih makanan yang baik untuk kualiti hidup dan kekal sihat sepanjang usia,'' katanya.

Probiotik digunakan dengan meluas dalam ternakan di kebanyakan negara seperti Korea Selatan dan Indonesia, namun masalah utamanya ialah kos yang tinggi berbanding dengan penggunaan antibiotik yang lebih murah.  Probiotik yang digunakan dalam kajian ini ditaja oleh Probionic Corporation dari Korea Selatan yang dikatakan menggunakannya dalam pengeluaran kosmetik.

Projek ini turut membolehkan penternak memilih bahan makanan terbaik untuk ayam peliharaan itu dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar tahun akhir kursus Teknologi Bioproses, PPTI dengan dibantu oleh rakan kolaborasi Teroka Jaya Farm, Balik Pulau, 3M Malaysia Sdn. Bhd., Premier Diagnostics Sdn. Bhd. Malaysia dan Probionic Corporation (Korea Selatan) yang telah menaja probiotik (bakteria baik) dalam makanan ayam, supaya menghasilkan ayam lebih sihat untuk kegunaan manusia.   

IMG 0383

Hadir juga ialah Pengarah Pejabat Kreativiti dan Pengurusan Penyelidikan (RCMO) USM Profesor Dr. Lee Keat Teong, Dekan PPTI Profesor Dr. Azhar Mat Easa dan Pengasas ProBionic Corporation Profesor Dr. Park Yong-Ha.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa.​

  • Created on .
  • Hits: 1584

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024