USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAHIRKAN SISWAZAH DIETETIK BERKUALITI

IMG 9478

KUBANG KERIAN, 19 Jun 2015 - Sistem pengajian yang holistik dan pendedahan yang diberi kepada para pelajarnya menjadikan siswazah program Dietetik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kelantan adalah antara yang terbaik di negara ini dan berupaya melahirkan siswazah yang berkualiti.

Ini terbukti apabila empat orang pelajarnya memenangi anugerah di Persidangan Kebangsaan Persatuan Dietetik Malaysia (MDA) yang diadakan Kuala Lumpur baru-baru ini termasuk diiktiraf sebagai pelajar terbaik.

Menurut Dr. Chen Seong Ting, 30, sistem pengajian di sini membolehkan para pelajar menguasai ilmu pengetahuan yang luas dan menimba pengalaman di dalam dan di luar kuliah melalui bimbingan dan kemudahan yang disediakan di sini.

IMG 9497

“Inilah antara kunci kejayaan kami pada persidangan tersebut, namun perlu lebih memberi perhatian pada persembahan lisan pada masa hadapan apabila para pelajar berhadapan dengan para juri,” katanya yang memenangi tempat kedua, Pelajar Terbaik Ijazah Tinggi 2015 (MDA Best Postgraduate Thesis Award – Second Prize) dalam persidangan tersebut.

Chen Seong Ting yang kini merupakan pensyarah Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan  menerima anugerah tersebut dari Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.  Hadiah ini adalah hasil usahanya ketika mengikuti pengajian Doktor Falsafah (Ph.D).

Tambahnya lagi, pendedahan luas yang diberikan kepada pelajar terutamanya dalam khidmat dan libat sama komuniti membolehkah para pelajar dietetik USM berjaya dalam kehidupan dan mudah untuk memasuki sektor pekerjaan.

Persidangan tersebut menghimpunkan ahli dietetik dan pemakanan dari seluruh negara dengan  setiap universiti yang mengambil bahagian hanya dibenarkan menghantar seorang peserta untuk setiap kategori.

IMG 9502

“Kami perlu membuat saringan dan pemilihan di pusat pengajian sebelum memilih peserta terbaik untuk bertanding dan saya sangat berbangga kerana pelajar saya turut memenangi anugerah dalam persidangan tersebut,” tambahnya lagi.

Pada persidangan tersebut, pelajar yang kini sedang bertugas di Singapura, Chow Li Ming menerima Pelajar Ijazah Pertama Dietetik Terbaik 2015 – Hadiah Pertama (best Undergraduate Dietetics Student 2015 – First Prize).

Ng Hee Wu, 26, yang menerima anugerah Persembahan Kajian Kes Terbaik Pelajar secara Oral (Best Student Case Study Oral Presentation – First Prize) merasa sangat gembira dengan kemenangan yang diperolehi.

“Saya tidak sangka memenangi tempat pertama dalam pertandingan tersebut kerana peserta-peserta dari universiti lain tidak kurang hebatnya dan kemenangan ini dicapai adalah hasil bimbingan para pensyarah di pusat pengajian, sistem pengajian yang memberikan kami pendedahan yang luas serta sokongan rakan-rakan yang berterusan,” katanya yang berasal dari negeri Kedah.

Ng Hee Wu yang kini berada di tahun akhir pengajiannya berhasrat untuk bekerja sebaik sahaja tamat pengajian memberitahu, ketika mengikuti pengajian dia juga berpeluang untuk berkongsi ilmu pengetahuan yang diperolehinya di kuliah dan makmal dengan masyarakat setempat di Kedah ketika menjalankan projek komuniti yang memberikan kefahaman terhadap pelbagai isu sebenar dalam masyarakat.

Manakala Bibiana Chee Pei Ting, 24, yang berasal dari Kuching Sarawak yang memenangi Hadiah Saguhati, Pertandingan Poster gembira kerana hasil usahanya membuahkan kejayaan.  Poster yang dihasilkannya adalah berdasarkan pengalaman dan pembelajarannya semasa menjalani latihan klinikal di Hospital USM.

“Saya berbangga kerana pengajian di sini memberi peluang kepada saya untuk memahami dan mendekati komuniti termasuk juga berpeluang untuk membantu masyarakat saya di tempat kelahiran saya ketika melakukan program komuniti,” kata Pei Ting.

Teks:  Mohamad bin Abdullah & Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto:  Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad Sakri

  • Created on .
  • Hits: 1338

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024