USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MESYUARAT SERANTAU APUCEN CADANG TUBUH PERSATUAN PELAJAR DALAM LIBAT SAMA KOMUNITI

1545203 10206892712420718 8324038574977623703 n

CHIANG MAI, (THAILAND), 17 Jun 2015 - Majlis Tertinggi Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) yang bermesyuarat di sini bersetuju menubuhkan APUCEN Student Chapter di setiap universiti anggota APUCEN.

Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman setelah mempengerusikan Mesyuarat Serantau Keenam Majlis Tertinggi APUCEN yang dihadiri oleh 23 delegasi dari 11 institusi pengajian di Chiang Mai University di sini.

“Untuk pertama kalinya mesyuarat APUCEN turut melibatkan pemimpin pelajar dengan Majlis Perwakilan Pelajar USM sebagai pemerhati dan kami bersetuju untuk menubuhkan APUCEN Student Chapter bagi merealisasikan konsep inklusif dan holistik dalam libat sama komuniti, serta menggalakkan community learning dan service learning,” kata Omar.

10434348 10206892712060709 4213056815371478484 n

Jelasnya lagi APUCEN Student Chapter akan ditubuhkan di lebih daripada 70 universiti yang menjadi ahli APUCEN bagi melengkapkan ekosistem libat sama komuniti dari perspektif universiti. 
 
"Penubuhan student chapter ini akan membolehkan pelajar di universiti-universiti terlibat berinteraksi di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam program-program yang dilakukan melalui APUCEN atau program-program yang disokong APUCEN," kata Omar.

Antara yang dijangka mendapat sambutan ialah Program Universitas Andalas Mahasiswa Berkomuniti yang bakal dilancarkan di peringkat antarabangsa dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Indonesia.

Omar yang juga Presiden APUCEN berkata, pelbagai agenda dibincangkan dalam mesyuarat kali ini yang melakar hala tuju APUCEN dan kerjasama dalam penglibatan komuniti di peringkat antarabangsa.

10671340 10206892712740726 123795078245537726 n

“APUCEN juga berharap untuk menjemput pihak kementerian pendidikan atau agensi yang berkaitan dengan pengajian tinggi di negara-negara peserta dapat turut serta dalam mesyuarat mahupun aktiviti yang diadakan kerana penglibatan ini penting dalam menunjukkan komitmen dan usaha yang berterusan untuk melaksanakan projek berimpak tinggi dalam libatsama universiti-komuniti,” kata Omar.

Mereka yang hadir mewakili USM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Thammasat University, Chiang Mai University, Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan, Australian College of Applied Psychology, Universitas Andalas Indonesia dan Kyoto University of Foreign Studies Jepun.

10986615 10206892713060734 8738536668587814508 n

Sebanyak 12 agenda dan projek libat sama komuniti dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut, antaranya penyelidikan berasaskan komuniti, pembangunan sumber manusia untuk menangani masalah dadah dalam kalangan belia yang dianjurkan oleh USIM dan latihan untuk pelatih (TOT) dalam kepimpinan libat sama universiti-komuniti yang dianjurkan oleh USM melalui geran AKEPT.

  • Created on .
  • Hits: 869

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024