USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAMADHAN MEMBENTUK UMAT BERKUALITI

ramadhan 1

PULAU PINANG, 18 Jun 2015 - Bilangan umat Islam dikatakan bertambah dan menjadi yang teramai di dunia. Soalannya ialah, adakah bilangan yang ramai itu mampu memimpin dunia dengan kualiti yang diperlukan atau sekadar satu jumlah yang besar, tetapi tidak mampu menandingi mereka yang lebih kecil bilangannya.

Hal ini dibangkitkan oleh Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Muhammad Idiris Saleh ketika menyampaikan tazkirah Ramadhan di Mesjid Al-Malik Khalid selepas solat zohor hari ini.

"Mampukah umat Islam menyelesaikan sendiri pelbagai masalah yang dihadapinya kini, termasuk hal-hal seperti penglibatan umat Islam dalam aktiviti sukan yang dikatakan tidak menutup aurat atau hal-hal lain yang didepani umat Islam masa kini," kata Muhammad Idiris.

Soalnya, apakah persiapan umat Islam dalam memberikan makna kepada bilangannya yang terus meningkat dengan membuat persediaan dari segi kualiti untuk memimpin dunia.

ramadhn 2

"Kuantiti tanpa kualiti tidak akan memberi sebarang erti dan inilah cabaran kepada umat Islam dalam membawa generasi masa hadapan dalam bilangan yang besar dengan kualiti yang tinggi, terutamanya dari segi pemikiran yang amat penting dalam memastikan menjadi umat yang hebat," katanya.

Berdasarkan sejarah umat manusia dan negara bangsa dunia, negara-negara kecil seperti Belanda dan Jepun membuktikan kemampuan mereka untuk menjajah dunia termasuk negara yang besar berdasarkan kekuatan yang ada terutamanya dari segi pemikiran.

"Mulakan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini dengan kualiti yang lebih baik yang bermula dengan diri sendiri yang apabila merdeka pada Syawal nanti mampu menjadi umat yang berkualiti dan berupaya menunjukkan kualiti untuk memimpin dunia seluruhnya," kata Muhammad Idiris lagi.

ramadhan 3

Terdahulu, imam dari sebuah mesjid dari Madinah Arab Saudi Sheikh Jam'an Al'Asiri turut memberikan tazkirah dalam Bahasa Arab yang menyentuh tentang fadhilat berpuasa, kelebihan bulan puasa dan kelebihan orang-orang yang berpuasa.

Sheikh Jam'an Al'Asiri dijemput khas sebagai imam solat sunat tarawih di Mesjid Al-Malik Khalid sepanjang Ramadhan ini. - MOHAMAD BIN ABDULLAH

  • Created on .
  • Hits: 823

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024