USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF HASILKAN PRODUK INOVASI

KUBANG KERIAN, 14 Jun 2015 - Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) ialah satu platform bagi warga Universiti Sains Malaysia (USM) menterjemah idea yang kreatif dan inovatif untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Program kali ini menampilkan 8 kumpulan dalam dua kategori iaitu 6 teknikal dan 2 pengurusan. “Penganjuran Konvesnyen KIK yang telah memasuki tahun yang kesembilan ini menandakan bahawa kita sudah maju ke hadapan dalam aspek inovasi dan kreativiti serta akan meneruskan langkah yang seterusnya,” kata Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed di Majlis Perasmian Penutup Konvensyen tersebut.

Katanya, program sebegini banyak faedahnya dan menguntungkan pihak pengurusan mahu pun staf itu sendiri untuk kepentingan USM secara keseluruhannya dalam banyak aspek.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Madya Dr Adam Husein yang juga Pengerusi Jawatankuasa KIK Kampus Kesihatan berkata, program KIK ini memberi peluang kepada semua staf di semua peringkat dalam mencipta inovasi yang berfaedah dan berkualiti kepada masyarakat.

“Program KIK ini banyak memberi manfaat kepada semua pihak contohnya alat yang dicipta dapat memudahkan urusan penggunaannya, menjimatkan kos dan USM boleh menjual alat tersebut bagi menjana pendapatan universiti apatah jika inovasi yang dicipta diiktiraf di peringkat antarabangsa tentunya dapat meningkatkan KPI kepada universiti,” katanya lagi. Program ini juga diadili oleh Pengurus Perbadanan Produtiviti Malaysia (MPC), Nik Rosdi Nik Yusoff selaku Ketua Panel Hakim, Che Mohamad Khalib Omar dari Unit Kesihatan Pendidikan Jabatan Kesihatan Kelantan dan Haji Mohd Rozali Jaffar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II. Nik Rosdi semasa sesi rumusan berkata, walaupun secara keseluruhannya semua persembahan kumpulan yang bertanding adalah memuaskan tetapi perlu lebih banyak penambahbaikan untuk memantapkan lagi hasil inovasi yang dicipta dan perlu menumpukan kepada impaknya.

“Saya kagum dengan pihak USM yang tidak pernah gagal untuk mewujudkan Kumpulan KIK yang baru saban tahun dan mampu menghasilkan penemuan yang pelbagai serta memberi banyak faedah kepada umum yang jika mereka berjaya di peringkat kampus, mereka akan ke pusingan seterusnya di peringkat Wilayah Timur dan berpeluang untuk ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Kumpulan mediCIT dinobatkan sebagai Juara bagi kategori Teknikal dan Naib Juara disandang oleh kumpulan Beyond Rehab dalam Konvensyen KIK 2015.

Hadir sama ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim dan Penyelaras Kualiti Kampus Kesihatan, Dr. Mary Abraham. - Teks: Mohamad Iqmal Mathlan & Zulkifli Zakaria/Foto: Mohamad Nazri Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1472

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024