USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERIPETEIA' EKSPRESI PENGALAMAN ARTISTIK INDIVIDU

IMG 0107aed

PULAU PINANG,  11 Jun 2015 – Artistik dan penuh dengan keunikan. Itulah yang ingin ditonjolkan melalui pameran oleh lapan orang pelajar Sarjana Program Mod Campuran (Seni Visual & Reka Bentuk) Pusat Pengajian Seni (PPS) Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menterjemahkan hasil kreativiti masing–masing menerusi projek penyelidikan dan pameran ‘Peripeteia’ yang berlangsung selama sembilan hari bermula 7 Jun 2015 di Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang.

‘Peripeteia’ merupakan projek penyelidikan dan pameran yang bertujuan untuk mengetengahkan para pelajar melalui ruang lingkup penghasilan karya dalam konteks penyelidikan.

IMG 0096ghgh

Dekan PPS USM, Profesor Madya Mohamad Omar Bidin, berkata pameran ini merupakan inkubator bagi para pelajar mengekspresikan pengalaman artistik di samping mengembangkan kajian visual dan bakat masing-masing. 

"Pameran ini dibentuk bagi menghasilkan satu tanda aras kepada perkembangan meneroka, mencabar dan memperkenalkan ciri-ciri kajian individu secara lebih teratur dan sistematik," tambahnya.

IMG 0082wsd

Mohamad Omar berharap pameran berbentuk kajian ini dapat membentuk dan merubah suatu persepsi bahawa penghasilan karya haruslah membawa bersamanya suatu bentu pengkajian yang mendalam sejajar dengan hasrat USM dalam mengenengahkan penyelidikan sebagai cara meningkatkan pengetahuan dan meluaskan kefahaman dan seterusnya meningkatkan apresiasi masyarakat ke atas karya seni secara amnya.

Menurut pelajar Sarjana Seni Halus, Rosmidahanim Razali, pengalaman peribadi dalam melihat keluarga menghasilkan kuih tradisional untuk penjualan menjadikan pengalaman ini sebagai titik tolak menjana ekspresi menghasilkan karya cetakan alternatif.

"Dengan mengambil pendekatan penggunaan acuan dan prinsip pengulangan yang digunakan dalam pembuatan kuih tradisional Melayu dan penggabungan beberapa teknik cetakan yang bersesuaian ianya secara tidak langsung berpotensi mengembang dan memperkayakan lagi aspek pembinaan visual yang berasaskan budaya tempatan," tambahnya lagi.

IMG 0085dcvd

Rosmidahanim yang turut menampilkan kuih loyang sebagai salah satu objek pameran tersebut menterjemahkannya menerusi pelbagai warna pada kuih tersebut yang secara tidak langsung menceritakan perihal dan warna-warni dalam kehidupan manusia seperti ketawa, sedih, tenang dan sebagainya.

Antara pameran yang menarik perhatian ialah karya Mohd Zahari Mat Nor yang membicarakan mengenai alam mistik dengan membentuk satu interpretasi berkaitan fenomena saka sebagai jin yang diwarisi dari leluhur nenek moyang yang wujud dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia dengan penghasilan arca.

"Saya mendapat ilham untuk berkarya dalam menghasilkan seramik ini melalui pengalaman yang pernah dialami oleh ahli keluarga saya sendiri, oleh itu saya mengambil pendekatan studio seni halus dalam membina visual berasaskan Saka menggunakan elemen kerasukan, konflik diri, dan hubungan perjanjian dalam saka," kata Mohd Zahari.

IMG 0092af

Karya arca yang ditampilkan dengan  beberapa bentuk buaian dan patung manusia yang menjadi pendamping diperbuat dari  bahan seramik membawa suatu kelainan dan keunikan dalam pameran ini.

Antara isu semasa yang turut menjadi ilham pengkarya ialah isu pembalakan haram hasil karya oleh Muhammad Adzan Mohd Zaini dengan merepresentasi semula ancaman dan kerakusan manusia terhadap ekosistem alam yang menyebabkan berlakunya bencana alam.

"Saya menterjemahkan elemen-elemen kemusnahan yang terdapat melalui proses observasi di beberapa kawasan kajian selain merujuk kepada sumber-sumber media elektronik, media cetak dan blog untuk mencari maklumat berkaitan," katanya.

Beberapa hasil karya lagi yang turut menarik perhatian dipersembahkan secara umum di sini termasuklah karya Ali Shariati Ahmad Suhaimi yang memberikan penekanan terhadap bagaimana pengguna merasai, mengalami, dan menjadi obses terhadap sesuatu barangan yang diiklankan, juga Asrul Nizuan Ariffin dalam mengintergrasi obsesi dan pengaruh budaya konsumer terhadap penggunaan kod QR.

IMG 0102wad

Hasil seni lain pula mengangkat objek “readymade” yang mempunyai hubung kait di antara penggunaan objek harian dan pengaruhnya terhadap memori dan momen dalam kehidupan individu oleh Mohamad Hafiz Yahaya, juga simbolik kehidupan yang menyentuh aspek masa dan ruang serta simbolisme wujud dalam pohon beringin oleh Nik Mohd Husyaidie Che Hussin.

‘Peripeteia’ berasal dari perkataan Greek yang membawa maksud berubah secara tiba-tiba merupakan simbolik kepada turning point (titik perubahan) dalam praktis individu yang memerlukan para pelajar mencabar kemampuan diri bagi mencari makna ekspresi yang lebih luas. Teks : Syuhada Abd Aziz, Siti Naquiah Abdillah / Foto : Hafiz Meah Ghouse Meah.​

  • Created on .
  • Hits: 1424

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024