USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BSN BERI SUMBANGAN KEPADA PESAKIT WAD PEDIATRIK HUSM

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 JUN 2015 - Menyedari keperitan yang dihadapi oleh pesakit kanak-kanak Wad Pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Bank Simpanan Nasional (BSN) menyampaikan sumbangan  untuk berkongsi keceriaan di samping lebih mengenali masyarakat sekitar dan mengeratkan silaturrahim.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Dato’ Haji Omar berkata, program sebegini merupakan salah satu tanggungjawab sosial BSN untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu pesakit kanak-kanak menanggung kesukaran  yang dihidapi mendorong BSN menaja ruangan bergambar ataupun mural yang akan dilengkapi dengan gambar pemandangan yang akan diletakkan di dalam Bilik Ceria iaitu bilik rehat pesakit kanak-kanak di Wad 6 Selatan,” katanya ketika melawat pesakit Wad Pediatrik sempena sambutan Kempen ‘40 Kebaikan BSN’ hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Farmasi HUSM, Haji Zainol Abidin Hamid yang mewakili Pengarah HUSM pula berkata, pemasangan mural di wad kanak-kanak oleh BSN menunjukkan bank tersebut prihatin terhadap pesakit kanak-kanak yang memerlukan perhatian banyak pihak.

“Program sebegini diharap berterusan pada masa akan datang agar setiap pesakit merasakan diri mereka diberi perhatian bagi membantu mereka meneruskan rawatan untuk kembali sembuh," kata Zainol Abidin.

BSN turut menyampaikan sumbangan kepada semua pesakit wad kanak-kanak di samping mengagihkan duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. - Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Nazri Mat Zain

  • Created on .
  • Hits: 1150

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024