USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUS BERUSAHA TINGKAT KEUPAYAAN MELALUI KOLABORASI

PULAU PINANG, 10 Jun 2015 - Universiti Sans Malaysia (USM) akan terus berusaha untuk meningkatkan keupayaannya melalui kolaborasi bersama-sama universiti dan institusi terkemuka di luar negara sama ada melalui kerjasama penyelidikan mahupun penawaran ijazah bersama.

Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, usaha ini penting dalam memastikan pelaburan yang akan dapat memberikan pulangan baik kepada pelajar termasuk pelajar antarabangsa dan para pensyarah mahupun penyelidik universiti.

Diminta mengulas laporan kedudukan ranking yang dikeluarkan oleh QS University Ranking: Asia yang menunjukkan kedudukan USM meningkat dari tahun sebelumnya, Omar berkata ini adalah hasil usaha para pensyarah dan pelajar yang memberikan sumbangan besar dalam memastikan universiti terus membaiki kedudukan dan reputasinya di dunia.

“USM sentiasa berusaha untuk memastikan dapat menghasilkan pelajar dan para pensyarah yang berkualiti tinggi untuk memainkan peranan mereka sama ada dalam meningkatkan kedudukan dalam kalangan majikan, menghasilkan penulisan yang mempunyai sitasi tinggi mahupun pengantarabangsaan secara berterusan termasuk juga dalam bidang-bidang kekuatan subjek-subjek tertentu, misalnya Sains Persekitaran yang menunjukkan kedudukan yang baik di dalam negara, peringkat Asia mahupun dunia tanpa mengenepikan subjek-subjek kekuatan USM yang lain,” kata Omar.

USM berada pada kedudukan 49 Asian Ranking dan kedudukan 2 dalam kalangan universiti tempatan serta menunjukkan peningkatan pencapaian yang baik dalam semua indikator yang diberi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

“Yang penting ialah USM sentiasa meneruskan usaha yang dibuat untuk memacu kecemerlangan dan sentiasa mencari peluang kolaborasi baharu dengan pelbagai pihak di seluruh dunia untuk menawarkan program pengajian secara bersama termasuk melalui ijazah berkembar serta mendorong untuk para pensyarah  dan penyelidik menghasilkan penulisan berkualiti yang dapat memberi faedah kepada dunia ilmu, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya,” tegas Omar lagi.

Tambah Naib Canselor, kita juga secara berterusan membangunkan kapasiti dalam kalangan pelajar sama ada pelajar tempatan mahu pun antarabangsa untuk memastikan mereka dapat diterima dalam kalangan majikan dan pelbagai sektor keperluan di dalam mahu pun di pentas dunia seluruhnya melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh USM. - Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 775

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024