USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PP SENI USM WAKIL MALAYSIA DALAM FESTIVAL TEATER SINGAPURA

IMG 20150608 183455

SINGAPURA, 8 Jun 2015 - Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) akan mempersembahkan karya ciptaan asli “The Sound of Silence” hari ini di 8th Asia-Pacific Bureau (APB) Theatre School Festival and Directors' Conference yang sedang berlangsung di LaSalle College of the Arts, Singapura.

“The Sound of Silence” yang ditulis dan diterbitkan oleh pensyarah drama dan teater USM Dr. A.S Hardy Shafii, adalah seni eksperimen yang mengutarakan dan mempersoalkan konsep kebenaran di dalam teks, imej serta material dalam pelbagai bentuk media.

Berdasarkan beberapa insiden yang berlaku di Malaysia kebelakangan ini, persembahan tersebut menyajikan fiksyen dari pelbagai perspektif untuk menyoal siasat kesan kuasa terhadap masyarakat biasa secara pemikiran terbuka mengenai apa yang menzahirkan kebenaran.

Ditubuhkan pada tahun 2008 di bawah Institusi Teater Kebangsaan (ITI) UNESCO, Sekolah Teater APB ini mempromosikan interaksi dan perkongsian dalam kalangan sekolah-sekolah teater di rantau Asia Pasifik melalui penganjuran festival dan konferens tahunan, sejajar dengan matlamat utama badan ITI UNESCO yang mempromosikan program mobiliti akademik dalam kalangan sekolah-sekolah teater di rantau geografi ini berpaksikan mobiliti pelajar, tenaga pengajar dan maklumat.

Lokasi penganjuran festival teater APB ini akan bersilih ganti saban tahun antara negara ahli iaitu Australia, Brunei, China, India, Indonesia, Iran, Jepun, Malaysia, Mongolia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Keahlian dalam jaringan ini terhad  kepada institusi pengajian tinggi di negara ahli yang telah menubuhkan jabatan teater.

Sebagai peneraju bidang seni teater dan memiliki antara jabatan drama dan teater tertua Malaysia, USM adalah satu-satunya universiti di negara ini yang dijemput menyertai festival teater tersebut.

Selain mempamerkan pelbagai persembahan dari berlainan latar belakang negara dan budaya, wakil institusi yang turut serta juga mengadakan bengkel persembahan selain berbincang dan bertukar idea berkaitan pedagogi dan kurikulum, justeru membolehkan mereka untuk mengikuti perkembangan terkini serantau dalam pedagogi teater dan menanda araskan program akademik mereka terhadap program-program di jabatan teater terkemuka lain di rantau ini.

Festival Sekolah Teater kali kelapan ini diadakan dari 5 hingga 12 Jun 2015. Ini adalah tahun ketiga berturut-turut USM menghantar wakil untuk penyertaan yang terdiri daripada Dr. A.S Hardy Shafii (wakil USM dari Malaysia dalam dua festival sebelum ini di Vietnam dan Shanghai) dan pelajar iaitu Wong Lay Chin (‘sinografi’), Rowena Selvarasan, Mohd Ednizam Fuarddy dan Taufiq Sallehuddin. Muzik dan vokal digubah oleh oleh Johan Othman.

Institusi lain yang menyertai festival tahun ini termasuk LaSalle College of the Arts (Singapura), Korea National University of Arts (Korea Selatan), Chulalongkorn University (Thailand), University of Wollongong (Australia), Shanghai Theatre Academy (China), Ateneo De Manila University (Filipina) dan lain-lain lagi. - Terjemahan: Hafiz Meah Ghouse Meah/Teks asal: Dr. Nurul Farhana Low Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1244

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024