USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIT KEBAJIKAN HUSM BANTU PESAKIT TIDAK MAMPU

KUBANG KERIAN, 8 Jun 2015 – Dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) melaksanakan Kempen Bulan Kebajikan pada setiap bulan Januari telah bermula sejak tahun 2011 lagi yang diuruskan oleh Unit Kebajikan Perubatan HUSM.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Unit Kebajikan Perubatan HUSM, Muhamad Sharai Ibrahim, tujuan kempen ini  adalah untuk meringankan bebanan pesakit yang mendapat rawatan di HUSM.

“Selain itu usaha ini memberi peluang kepada orang perseorangan dan syarikat untuk menghulurkan derma demi memastikan golongan yang miskin atau daif berpeluang menjalani rawatan yang sempurna serta memberi motivasi kepada mereka untuk terus mendapat rawatan dan tidak berasa disisihkan," katanya.

Tambahnya lagi, pada tahun ini sebanyak RM70,000 diperuntukkan bagi tujuan tersebut berbanding dengan RM60,000 bagi tahun 2014 melalui usaha tersebut, dan sehingga tahun 2014, 20 orang pesakit yang dikenalpasti terlebih dahulu dari beberapa sudut penilaian seperti tahap sosioekonomi beserta rujukan oleh pakar perubatan sebelum dipertimbangkan ke jawatankuasa Tabung Kebajikan Pesakit telah mendapat bantuan.

"Antaranya adalah bantuan peralatan perubatan seperti implan ortopedik, bantuan peralatan perubatan sokongan seperti mesin oksigen serta bantuan-bantuan lain seperti cermin mata dan tambang ulang alik mengikuti rawatan," katanya lagi.

Staf Hospital turut tidak ketinggalan dalam membantu pesakit dengan melaksanakan pemotongan gaji minimum RM1.00 yang dilakukan dalam kalangan jabatan, unit dan wad bagi meningkatkan jumlah dana.

Penderma juga berhak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi terus Unit Kebajikan Perubatan HUSM. - Teks: Mohd Hafiz Yaacob & Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1177

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024