USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMBARA KE PERKAMPUNGAN ORANG ASLI TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN

KUBANG KERIAN, 8 Jun 2015 - Biar pun meredah hutan belantara dengan masa perjalanan hampir 10 jam, misi Kembara Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian untuk menyampaikan kesedaran kesihatan kepada masyarakat orang asli di sini berjalan lancar yang melibat sama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kelab Ekspedisi Kelantan (KEK) dan St John Ambulans Malaysia.

Misi tiga hari bermula 5 Jun lalu itu membawa peserta ke dua buah lokasi dengan 12 kenderaan pacuan empat roda (4X4) iaitu Pos Bihai dan Pos Belatim bagi mengadakan program kesihatan kepada masyarakat di pedalaman.

Pakar Perubatan Kecemasan Hospital USM selaku Ketua Projek, Dr. Shaik Farid Abdull Wahab berkata seramai 12 peserta mengambil bahagian yang terdiri dari dalam kalangan  pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, penuntut serta staf sokongan.

"Program ini berusaha mengupayakan golongan terkebawah dengan membantu masyarakat pedalaman dalam aspek menjaga kesihatan untuk melahirkan masyarakat sihat sejahtera dengan menyediakan kaunter untuk penduduk mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta demonstrasi menggosok gigi serta mencuci tangan dengan sempurna kepada kanak-kanak orang asli," kata Shaik Farid.

Sumbangan beras dan pakaian turut dibuat di kedua-dua pos itu serta beberapa buah kampung lain yang sempat disinggahi antaranya Kampung Cemal dan Penusin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pos Bihai, Mulian Alok, 42, menyifatkan kunjungan dari misi Kembara Kemasyarakatan USM itu adalah satu penghormatan kepada mereka kerana sudi turun padang untuk berjumpa komuniti itu yang menggembirakan  270 penduduk di sini terutamanya kanak-kanak yang menerima pendedahan yang boleh diamalkan seperti yang ditunjukkan melalui demonstrasi yang diadakan. - Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Wan Mohd Rasidi Wan Mahmod

  • Created on .
  • Hits: 1247

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024