USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIGA IPT 2015: USM KONGSI MATA DENGAN UPM

IMG 0041nj

PULAU PINANG, 6 Jun 2015 – Skuad bolasepak Universiti Sains Malaysia (USM) menutup tirai Divisyen Dua Liga IPT 2015 dengan mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Universiti Putra Malaysia (UPM) pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Olahraga USM hari ini.

Walaupun telah berjaya mengesahkan tempat ke Divisyen Satu pada tahun hadapan, skuad Minden Tigers tetap menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam usaha mengekalkan rekod cemerlang di laman sendiri.

IMG 0049kol

IMG 0016ji

IMG 0119jkbu

Kehadiran Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan ternyata memberi inspirasi tambahan kepada pasukan.

“Syabas diucapkan kepada skuad muda yang saya lihat begitu bersungguh-sungguh menaikkan kembali nama USM Minden Tigers dan diharapkan semangat ini dapat sentiasa dikekalkan,” katanya.

Tambah bekas penjaga gol pasukan bolasepak skuad senior dan veteran USM satu masa dahulu, Minden Tigers yang mula ditubuhkan sejak pertengahan tahun 1970-an perlu sentiasa ‘garang’ dan ‘meratah’ musuhnya, bersesuaian dengan gelaran yang dipegang.

IMG 0134h bj

IMG 0131bj

“Liga Divisyen Satu akan lebih mencabar, dan diharapkan semua pemain dan pihak pengurusan telah mempersiapkan ketahanan mental dan fizikal dengan lebih jitu.”

UPM yang dibimbing Mohd Zalmie Jamlus bermula baik apabila berjaya membolosi gawang USM seawal minit ke-8 menerusi sepakan penalti yang tenang disempurnakan Muhammad Amin.

Minit ke-25, kealpaan benteng pertahanan USM dan kesilapan penjaga gol yang menahan bola di luar kotak penalti dihukum dengan satu sepakan bebas yang berjaya dijaringkan Muhamad Akmal.

Tidak patah semangat dalam mencari gol bagi merapatkan defisit, USM melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, Ahmad Hambali berjaya menjaringkan gol pertama USM menerusi rembatan cantik dari penjuru kiri gol.

IMG 0011ghjh

IMG 0064hb

Separuh masa kedua dimulakan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun ketumpulan barisan penyudah menyaksikan tiada sebarang gerakan menarik, sehinggalah pada minit ke-64, cubaan daripada Ahmad Hambali sekadar menyaksikan bola singgah di palang gol UPM.

Dan kesungguhan skuad Minden Tigers mencari gol penyamaan terhasil jua pada minit ke-70, menerusi Muhammad Hafiz hasil sepakan percuma lambungnya yang berjaya menerjah jaring lawan.

IMG 0081ghg

IMG 0086uigu

Ketua jurulatih, Ahmad Norafandy Yatim, bangga dengan semangat melawan para pemainnya walaupun beraksi di bawah cuaca panas dan ketinggalan dengan dua gol.

“Saya harap para pemain akan terus mengekalkan semangat seperti sekarang dan tidak takut untuk berdepan dengan sesiapa saja lawan yang bakal ditemui pada ‘Grand Final’ nanti."

"Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat semua pemain yang akan menghadapi peperiksaan semester akhir yang akan bermula pada 8 Jun nanti."

IMG 0100hkbj

Grand Final yang dijadualkan bermula pada awal September nanti akan menghimpunkan 16 pasukan terbaik daripada Divisyen Satu, Dua dan Tiga serta pasukan yang bertanding dalam pusingan kelayakan. - Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1377

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024