USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANGGA DENGAN USM: ALUMNI BUKTIKAN MAMPU BANGUN UMMAH

11350484 10206790878674938 5448020355745464655 n

MEDAN, SUMATERA UTARA (INDONESIA), 5 Jun 2015 - Pertama kali melihatnya tidak siapa sangka beliau usahawan yang sangat berjaya, malah mampu memiliki hotel sendiri. Tatkala beliau menawarkan hotelnya menjadi tempat pertemuan para ilmuan di sini dan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam majlis pertemuan pemimpin universiti di sini dengan Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman sebagai wahana pembangunan cendekiawan Islam, terasa hebatnya laki-laki ini dengan kecintaaan mendalamnya kepada ilmu.

"Saya menjadikan Masjid Raya Medan dan Istana Maimun sebagai tonggak semangat kekuatan agama bangsa yang besar dan hebat sebagai landasan untuk berjaya dan mendirikan satu-satunya hotel berlandaskan syariah di kawasan ini," katanya ketika mula bercerita kisah kejayaannya.

11428056 10206790877994921 1519497152750457700 n

Dr. H. Dedi Masri, 42, bapa kepada sepasang cahaya mata itu sebenarnya mempunyai kelulusan ijazah pertama dan sarjana dalam Tafsir Al-Quran dari Universiti Al-Azhar Mesir (1992 - 2003) serta pernah mengikuti pengajian peringkat kedoktoran tetapi tidak dihabiskan kerana ingin kembali ke tanah kelahirannya di Medan Indonesia.

"Saya percaya yang amanah berat dipikul oleh kita untuk turut membangunkan ummah dan pada masa yang sama cinta kepada ilmu tidak pernah padam hingga mendorong meneliti banyak universiti di sini termasuk di Malaysia sehingga memilih USM untuk melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah doktor falsafah," katanya yang menamatkan pengajian Tafsir Al-Quran pada peringkat Ph.D dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dengan menerima ijazahnya pada Upacara Konvokesyen USM April lalu.

Dari keluarga tujuh beradik dengan ayah dan ibunya bergiat dalam perniagaan, Dedi turut melibatkan diri dalam pelbagai bidang dari menjalankan pasaraya, hospital, kolej swasta malah juga taman tema dan perladangan hinggalah berjaya memiliki hotel sendiri pada tahun 2008 yang namanya mengambil sempena ayah bondanya Masyri dan Murni lalu dinamakan Hotel Madani yang terletak berhadapan persimpangan Masjid Raya dan tidak jauh dari Istana Maimun yang menjadi lambang kekuatan Islam dan pemerintahan umat Melayu satu ketika dahulu.

11393211 10206790880314979 6746309931049262279 n

"Prinsip saya ialah ingin membangun peluang untuk umat Islam demi kesejahteraan ummah dan berusaha membangunkan hotel yang berlandaskan syariah, satu-satunya milik Melayu dan berkonsep sedemikian di Kota Medan dengan memastikan pekerja yang berhijab dan tidak terlibat dengan aktiviti dilarang agama serta menawarkan rasa selamat dan selesa dalam kalangan mereka yang menginap di sini," jelasnya lagi yang kini berupaya memberi peluang kerjaya kepada kira-kira 1,100 orang pekerja dalam pelbagai perusahaannya.

Hotel Madani mempunyai 312 bilik dibangunkan dengan kos lebih USD90 juta.

"USM amat bermakna dan dekat di hati saya, malah amat bangga dengan universiti ini kerana inilah yang fikir terbaik setelah membuat penilaian dan penelitian rapi sebelum memilih tempat untuk melanjutkan pengajian dahulu malah saya kagum dengan kecekapan pengurusan dan sikap seriusnya terhadap ilmu pengetahuan," kata Dedi di akhir pertemuan.

11406517 10206790881074998 8438380479674742820 n

Dedi adalah contoh alumni USM yang berjaya, memiliki nilai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) dalam mencintai ilmu pengetahuan dengan ciri-ciri sejagat yang tinggi berteraskan semangat Kami Memimpin, Memacu Kecemerlangan. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1095

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024