USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WCM 2016: MALAYSIA JADI TUMPUAN SAINTIS MALACOLOGY DUNIA

IMG 5093

PULAU PINANG, 4 Jun 2015 – Saintis tersohor dunia dalam bidang malacology (kajian kerang-kerangan dan siput) akan berkumpul di negara ini bagi membincangkan isu pemeliharaan organisma bercengkerang yang makin diancam kepupusan.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Aileen Tan Shau Hwai berkata, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap spesis terancam itu perlu dipertingkatkan dengan penglibatan semua pihak.

Katanya, kerang-kerangan di serata lautan termasuk di negara ini makin berkurang disebabkan pelbagai faktor, termasuk perubahan iklim dunia yang menyebabkan penurunan dalam pembiakannya.

Katanya, walaupun secara amnya kerang-kerangan tidak popular jika dibandingkan dengan haiwan laut lain seperti ikan dan udang, namun ia menyumbang 60 peratus kepada sumber perikanan negara.

``Perkara ini perlu diberi perhatian khusus dan kesedaran untuk memelihara sumber protein alternatif utama ini adalah amat kritikal jika melihat kepada situasi semasa yang turut mengancam biodiversiti.

IMG 5100a

``Justeru kita berharap dengan rangkaian kerjasama antarabangsa, saintis di negara ini dapat mencari langkah terbaik untuk memastikan organisma bercengkerang ini terpelihara dan menjadi sumber penjanaan ekonomi negara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi memperincikan kejayaan Malaysia khususnya Pulau Pinang menjadi tuan rumah penganjuran World Congress of Malacology 2016 (WCM2016) kali ke-19, pertengahan tahun depan.

 Lebih membanggakan, Aileen juga mencipta sejarah apabila menjadi saintis wanita pertama yang dipilih sebagai Presiden UNITAS Malacology (UM), sebuah pertubuhan terkemuka dunia yang yang berpusat di Eropah dan ditubuhkan sejak 1962.

UM telah meraih perhatian global khususnya dalam kajian-kajian haiwan lembut bercengkerang  di samping meningkatkan kesedaran umum berkenaan isu-isu pemeliharaan, pemuliharaan dan biodiversiti spesis itu di seluruh dunia.

IMG 5061

Penganjuran kongres yang dijangka disertai lebih 400 peserta dari lebih 40 negara itu membolehkan saintis tempatan meraih peluang menjalin rangkaian penyelidikan berimpak tinggi bersama-sama barisan penyelidik dunia dalam bidang malacology.

Ia turut menjadi platform dalam mengetengahkan potensi penyelidik-penyelidik muda dari seluruh dunia ke arah pembangunan dan kemajuan penyelidikan haiwan bercengkerang.

``UM turut menggesa supaya saintis muda dalam bidang malacology tampil meraih peluang untuk bersama-sama terlibat dalam kongres dan mengambil manfaat dalam setiap perbincangan yang diadakan,’’ ujarnya.

Beliau juga berkata, saintis dari seluruh dunia khususnya di rantau Asia yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web WCM2016, http://wcm2016.usm.my yang turut dilancarkan di sini hari ini.

Laman web khas tersebut dilancarkan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman. Turut hadir ialah tiga ahli majlis UM, Jesus Souza Troncoso (Sepanyol), Julia Sigwart (Ireland) dan Hiroshi Saito (Jepun). Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1360

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024