USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

383 ORANG STAF KAMPUS KESIHATAN USM TERIMA APC

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Jun 2015 - Seramai 383 staf Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2014 yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM hari ini.

Selain itu, seramai 62 orang staf turut menerima Anugerah Jasamu Dikenang dan Anugerah Khidmat Sanjungan Budi bagi yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan USM terhadap prestasi cemerlang yang telah disumbangkan oleh staf dengan harapan agar budaya cemerlang ini akan terus dipupuk dan berterusan kepada staf-staf lain.

“Daripada pencapaian keseluruhan, seramai 796 staf menerima APC pada tahun 2014 bagi ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan yang mana mereka ini memperoleh purata markah 85% ke atas.

“Seramai 414 staf (52.01%) daripada Kumpulan Perkhidmatan I, 149 staf (18.72 %) daripada Kumpulan Sokongan II, 120 staf (15.08%) daripada Kumpulan Akademik dan 96 staf (12.06%) adalah penerima daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional, 16 staf (2.01%) daripada Kumpulan Tertinggi Khas dan seorang (0.13%) adalah dari Kumpulan Tertinggi Utama,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kampus Kesihatan USM.

Tambah Omar, tuntutan bekerja sekarang memerlukan perubahan dan pengorbanan yang besar di semua peringkat perkhidmatan untuk menghasilkan prestasi kerja yang lebih bermutu tinggi.

“Staf merupakan penggerak utama universiti dan banyak bakat-bakat yang masih belum dicungkil untuk digembleng bagi memacu kecemerlangan universiti dan dari pemerhatian dan pendapat saya, bakat-bakat dan aset yang ada pada universiti ini perlu diketengahkan untuk melonjakkan nama universiti ke tempat yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Omar berkata, pada tahun 2014, USM merupakan universiti kedua terbaik berjaya menghasilkan siswazah yang mendapat pekerjaan selepas Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), oleh itu kita perlu memastikan latihan yang diberikan kepada pelajar sesuai dengan bidang pekerjaan bagi menghasilkan pelajar yang bersedia  untuk menghadapi alam pekerjaan nanti.

“Apa yang boleh diberikan pelajar pada masa akan datang bukanlah satu perkara yang boleh diandaikan seperti masa lalu dan sebagai universiti yang sudah matang, adalah diharapkan USM berupaya untuk terus maju seiring dengan kedudukannya sebagai universiti APEX,” tegas Naib Canselor.

Selain itu, Omar turut meminta bahagian pembangunan sumber manusia dan latihan memberi kelebihan serta peluang kepada semua penerima APC untuk mengikuti latihan luar agar mereka dapat membuktikan kelebihan bagi membolehkan lonjakan baharu kepada Kampus Kesihatan khususnya dan universiti amnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan, Pengarah Hospital USM, Dato’ Dr. Zaidun Kamari, Pengarah Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT), Profesor Aziz Tajuddin dan Pemangku Bendahari USM, Dr. Rohayati Mohd Isa.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Ridzuwan Ramly​

  • Created on .
  • Hits: 1111

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024